Pelancong enggan balik ke negara asal

KUALA TERENGGANU: Pelancong asing dari Eropah yang sedang melancong di beberapa pulau di negeri ini enggan balik ke negara asal kerana bimbang dijangkiti COVID-19.

Sehingga kini, terdapat 40 pelancong daripada benua itu masih berada di Pulau Perhentian, Besut, lima di Pulau Redang dan tiga di Pulau Tenggol, Dungun.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, pelancong dari negara Eropah itu bercuti ke pulau berkenaan sejak pertengahan bulan lalu.

Jelasnya, kerajaan negeri sudah mengarahkan pelancong itu keluar dari pulau peranginan berkenaan dan balik ke negara asal masing-masing.

“Tetapi mereka enggan balik dan mendakwa bimbang dijangkiti wabak COVID-19 kerana keadaan di negara mereka lebih serius.

“Kita sudah menggunakan pelbagai kaedah termasuk memujuk supaya meninggalkan pulau peranginan itu, tetapi mereka enggan dan merayu agar dibenarkan untuk terus menetap di situ sehingga penyakit COVID-19 pulih sepenuhnya, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Rasid menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa menghubungi pemilik chalet lokasi penginapan pelancong bertanya khabar.

Jelasnya, setakat ini keadaan semua pelancong yang tinggal di pulau peranginan itu baik.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau semua pelancong berkenaan dan setakat ini mereka dijaga dengan baik pengusaha chalet,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online / Oleh: Baharom Bakarbhnews@bh.com.my

error: ...