Pelitup muka fabrik ‘fancy’ tidak berkesan

Gambar Hiasan

MASYARAKAT perlu sedar keperluan memakai pelitup muka tiga lapisan mampu mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19 berbanding jenis fabrik ‘fancy’ yang kini menjadi pilihan ramai.

Pakar Epidemiologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, pelitup muka tiga lapisan yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting kerana memiliki penapis yang dapat menghalang partikal halus termasuk virus daripada dihidu.

Berbanding pelitup muka fabrik, Dr Mohd Rohaizat berkata, ia sekadar mampu menapis bau dan partikel kasar daripada dihidu kerana dibuat tanpa penapis khas.

“Ada tanggapan penggunaan pelitup muka fabrik ini lebih menjimatkan kerana dapat dibasuh dan dipakai berulang kali berbanding pelitup muka perubatan yang disarankan KKM.

“Namun harus diingatkan fungsi kedua-dua pelitup muka itu berbeza dari segi material dan fungsi malah boleh memberi kesan jika seseorang itu kerana risiko jangkitan boleh berlaku lebih mudah jika terus memakai pelitup muka fabrik,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mohd Rohaizat berkata, masyarakat harus sedar pematuhan pemakaian pelitup muka tiga lapisan antara faktor penyumbang kepada kejayaan awal Malaysia mengawal penularan Covid-19.

Menurutnya, peningkatan kes kepada dua digit sejak minggu lalu perlu dipandang serius dan masyarakat perlu memastikan pemakaian pelitup muka yang disarankan KKM perlu diteruskan sebagai sebahagian normal baharu dalam kehidupan.

“Jangan kita terus selesa dan mengambil ringan walaupun sekadar pelitup muka. Ada yang mahu kelihatan bergaya kerana pelitup muka fabrik dibuat dengan pelbagai corak namun ia tidak berkesan dari segi kesihatan awam.

“Walaupun perlu menambah kos untuk membeli pelitup muka tiga lapisan namun ia perlu dilakukan sehingga Malaysia bebas Covid-19.

“Keputusan kerajaan menurunkan harga juga antara langkah yang baik bagi menggalakkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan siasatan awal KKM mendapati wanita memakai gelang kuarantin Covid-19 yang tular di laman sosial bersama anak lelakinya yang positif Covid-19 berpunca daripada pemakaian pelitup muka jenis fabrik.

Siasatan awal KKM mendapati pelitup muka yang dipakai mereka adalah jenis fabrik bukan kegunaan perubatan dan hasil saringan Covid-19 mengesahkan anak lelakinya disahkan positif Sabtu lalu dan sedang dirawat di hospital.

Terdahulu, gambar wanita terbabit tular di media sosial selepas dikatakan sedang menikmati hidangan di medan selera yang difahamkan di Bandar Meru Raya, Ipoh, dalam keadaan memakai gelang kuarantin Covid-19 sekali gus menimbulkan kegusaran serta kecaman warganet.

Saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita berusia 72 tahun itu positif dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sejak 17 Julai lalu. / sumber : Harian Metro

Pelitup muka fabrik punca makcik ‘wristband’ positif Covid-19

SIASATAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati wanita memakai gelang kuarantin Covid-19 yang tular di laman sosial bersama anak lelakinya yang positif Covid-19 berpunca daripada pemakaian pelitup muka jenis fabrik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua beranak di Ipoh, Perak itu berkemungkinan mendapat jangkitan import dari United Kingdom.

“Siasatan awal kami mendapati pelitup muka yang dipakai mereka adalah jenis fabrik bukan kegunaan perubatan.

“Hasil saringan Covid-19 mengesahkan anaknya disahkan positif Sabtu lalu dan sedang dirawat di hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kontak rapat dua beranak itu.

Terdahulu, gambar wanita terbabit tular di media sosial selepas dikatakan sedang menikmati hidangan di medan selera yang difahamkan di Bandar Meru Raya, Ipoh, dalam keadaan memakai gelang kuarantin Covid-19 sekali gus menimbulkan kegusaran serta kecaman warganet.

Saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita berusia 72 tahun itu positif dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sejak 17 Julai lalu. / Sumber : Harian Metro

Malaysia bakal berdepan peningkatan mendadak kes Covid-19

PUTRAJAYA – Malaysia bakal berdepan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar jangkitan atau R-naught (R0) pada ketika ini adalah 1.36 meningkat berbanding 0.3 pada tiga minggu lalu.

“Apa yang membahayakan adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6 dan bererti lebih ramai dijangkiti,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, kenaikan nilai R0 berlaku berikutan peningkatan kes dan pengesanan beberapa kluster baharu baru-baru ini.

“Pada 9 Julai lalu, jumlah kes aktif adalah 63 kes dan telah naik ke 143 kes iaitu kenaikan berganda,” katanya.

Justeru beliau merayu kepada seluruh rakyat agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jadi saya merayu kepada rakyat supaya patuh kepada SOP.

“Hanya ada tiga perkara perlu laksanakan iaitu penjarakan selamat satu meter, memakai pelitup muka dan cuci tangan dengan sabun dan air,” katanya.

Nilai R0 pada sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kadar 3.55. / Sumber : Sinar Harian

error: ...