Penduduk risau warga asing tak endah PKP

JOHOR BAHRU: Puluhan pekerja warga asing yang gemar bersantai dan berjalan beramai-ramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, membimbangkan penduduk Taman Gembira, di sini.

Semalam, tular di beberapa portal gambar puluhan warga asing yang bersantai, melepak dan berjalan beramai-ramai sekitar taman perumahan berkenaan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, sekali gus menerima kecaman ratusan pengguna media sosial yang terkejut.

Tinjauan BH di Taman Gembira lewat petang tadi, mendapati masih ada warga asing yang dilihat berjalan beramai-ramai di sekitar taman perumahan berkenaan tanpa mematuhi penjarakan sosial malah ada yang dilihat melepak dan berbual di hadapan deretan kedai di situ.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Maman, 55, berkata itulah keadaan di taman perumahan berkenaan sejak PKP bermula 18 Mac lalu.

Katanya, terdapat lebih 3,000 warga asing yang menetap di taman perumahan berkenaan berikutan banyak lot rumah dijadikan unit asrama pekerja berbanding hanya 1,600 penduduk tempatan.

“Penduduk tempatan memang bimbang berikutan keadaan warga asing yang berpeleseran beramai-ramai sedangkan PKP sedang berlangsung.

“Kami semua berkurung di rumah namun mereka pula gemar bersantai beramai-ramai terutamanya pada sebelah tengah hari dan petang bermula jam 4.30 hingga 7 malam.

“Penduduk pernah menasihatkan mereka mematuhi PKP secara baik namun tidak diendahkan sebaliknya hanya bertempiaran lari dan menghilangkan diri apabila pihak berkuasa melakukan operasi,” katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aini, 42, berkata, tingkah-laku warga asing di taman perumahan itu yang seolah-olah mencabar undang-undang negara.

“Penduduk hendak pergi ke kedai di depan taman perumahan ini pun risau sebab jumlah mereka yang berpeleseran ramai sekali gus kami bimbang jika wabak COVID-19 menular.

“Pihak berkuasa ada juga membuat operasi beberapa kali, namun keadaan reda hanya sehari dua sebelum mereka kembali kepada tabiat asal, ” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

error: ...