Penduduk tempatan tali barut sindiket seludup Pati di Langkawi

NATIONAL Task Force (NTF) mendedahkan terdapat pembabitan penduduk tempatan sebagai tali barut kepada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Pulau Langkawi.

NTF dalam kenyataan hari ini berkata, ia hasil risikan dan soal siasat yang dilakukan pasukan itu susulan beberapa cubaan kemasukan Pati ke pulau berkenaan sebelum ini.

“Penduduk setempat memberi bantuan termasuk penggunaan bot nelayan tempatan.

“Taktik digunakan adalah selepas memasuki perairan Malaysia, Pati akan menaiki bot nelayan tempatan dan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di sekitar Pulau Langkawi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semalam seramai 27 Pati dipercayai etnik Rohingya termasuk dua tekong warga Myanmar ditahan di Pulau Rebak, Langkawi.

Katanya, semua Pati yang ditahan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Pada 21 Julai lalu, dua lelaki warga Myanmar yang menetap di Pulau Langkawi disyaki dalang sindiket penyeludupan Pati ditahan dalam operasi khas bersepadu dikoordinasi oleh NTF bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan selepas cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa APMM bagi memberi laluan kemasukan migran melalui jalan laut.

Susulan tangkapan itu, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Teriang, Langkawi disyaki dijadikan tempat transit membabitkan tangkapan 34 warga Thailand dan Myanmar.

NTF berkata, pembabitan penduduk tempatan membantu kemasukan Pati sama ada melalui perairan mahupun darat adalah satu kesalahan khianat.

“NTF akan membuat pemantauan berterusan dan tindakan tegas diambil bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan negara terpelihara.

“Tangkapan seterusnya akan dilakukan bagi mengesan saki-baki sindiket penyeludupan Pati,” kata kenyataan itu lagi.

Harian Metro melaporkan, seramai 24 Pati dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi pada Sabtu.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah dilaporkan berkata, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi menggerakkan Bot Pelindung 2 ke lokasi sebaik menerima laporan pada jam 10.30 malam. */ Sumber : Harian Metro

error: ...