Perhimpunan bekas anggota PKM: 9 persatuan dikenal pasti terbabit

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menerima 72 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan dipercayai dihadiri bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, 1 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya turut mengenal pasti empat individu yang memberikan ucapan pada majlis itu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Beliau berkata, tiga individu lain ialah Pengarang Persatuan Persahabatan Abad Ke-21, wakil PKM dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

“Kita juga mengenal pasti sembilan persatuan terbabit dalam perhimpunan berkenaan.

“Polis kemudian mengambil keterangan enam saksi. Percakapan individu lain akan direkod berdasarkan temu janji yang sudah ditetapkan.

“Siasatan masih dijalankan dan beberapa tindakan lain akan diambil, termasuk mendapatkan keterangan daripada pakar sejarah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi membantu siasatan kes sama.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas anggota PKM itu di Kajang.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Sumber : Berita Harian

error: ...