Perlis belum cadang PKPD secara pentadbiran di Kuala Perlis

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man

KANGAR: Kerajaan negeri belum mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kuala Perlis.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata pihaknya ketika ini masih memantau situasi terkini pandemik COVID-19 di negeri itu bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

“Setakat ini, saya difahamkan masih satu kes dilaporkan di Kuala Perlis, tetapi kita belum tahu lagi keputusan penuh dan JKN masih memantau keadaan.

“Jadi buat masa ini kita masih belum lagi mengemukakan sebarang cadangan untuk PKPD secara pentadbiran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 31 kes COVID-19 dengan 12 daripadanya masih aktif membabitkan Kluster Sivagangga selain satu kes positif baharu dilaporkan di Kuala Perlis.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, secara keseluruhan keadaan di Perlis masih terkawal dan tiada kewujudan kluster baharu COVID-19 dikesan.

“Pihak JKN akan meneruskan pemantauan bersama urus setia keselamatan dalam negeri iaitu Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perlis.

“Jika ada bukti menunjukkan penularan, kerajaan negeri akan menyerahkan perakuan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut termasuk pelaksanaan PKPD secara pentadbiran,” katanya.

Sumber : Berita Harian

error: ...