Pesara kerajaan cipta bebola tanah liat rawat air

KOTA BHARU, 21 Julai — Kegigihan pesara kerajaan mencipta bebola tanah liat atau mudball membolehkan mereka menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan sejak tahun 2010.

Pasangan suami isteri, Mohd Nashir Yaacob, 61, dan isteri, Ramlah Salim, 61 menghasilkan mudball daripada bahan organik di rumahnya di kawasan kampung, mendapat permintaan tinggi di dalam negeri dan luar Kelantan.

“Memandangkan pelanggan mengadu air sering bermasalah seperti berbau busuk, hanyir dan berkarat, saya syorkan mereka gunakan mudball untuk menjernihkan semula air, malah usaha ini berkesan.

“Pembuatan mudball itu melalui proses pemeraman sehingga dua minggu, jadi dalam sebulan sebanyak 1,200 mudball dihasilkan menerusi 400 bungkus terjual, dengan harga pasaran RM10 sebungkus,” katanya kepada pemberita di Kampung Che Arus Kok Lanas, Ketereh di sini, hari ini.

Menurutnya, mudball itu boleh digunakan dalam kolam takungan air, sungai, perigi, tempat air bertakung, longkang, lubang tandas, dan kolam ikan kanvas bagi menjernihkan air bermasalah.

Mohd Nashir yang lebih dikenali sebagai Pok Sir berkata, mudball terhasil daripada campuran tanah liat, dedak beras, dan larutan mikrob, mikro-organisma berkesan (EM) melalui proses penapaian dan  peraman bersama gula merah, kemudian ia diadun dan dibentuk bulat.

“Bahan-bahan yang digunakan ini berfungsi bagi menguraikan segala bahan pencemaran di dalam air, meningkatkan kualiti air ke tahap yang selamat untuk digunakan bagi tujuan pertanian, perikanan dan penternakan.

“Mudball yang sudah siap dibentuk bulat ini perlu ditempatkan di kawasan teduh atau suhu bilik bagi proses pengeraman selama seminggu dan sekiranya melebihi tempoh enam bulan, pengaktifan semula mikrob perlu dilakukan,” katanya.

Proses selanjutnya, mudball diletakkan ke dalam bola campuran tanah liat dan bahan-bahan organik itu mampu menstabilkan kealkalian (pH) air, mengurangkan bau busuk air serta memecahkan molekul-molekul organik dan sisa sampah.

Mohd Nashir, yang juga perserta Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkata dia kini mempunyai 10 ejen di Kelantan dan turut menjalankan jualan secara dalam talian yang dibantu oleh dua anaknya Mohd Syafiq, 23, dan Mohd Huzaimi, 29.

Video Bebola Rawat Air : Klik

BERNAMA

error: ...