Pihak berkuasa mula mengesan warga asing tanpa dokumen di kawasan PKPD

Menara City One di Kuala Lumpur

Pihak berkuasa, temasuk Jabatan Imigresen, hari ini dilihat pergi ke kondominium Menara City One di Kuala Lumpur, yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak 30 Mac lalu.

Pihak berkuasa memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) dam masuk ke bangunan sekitar pukul 10.30 pagi, menurut The Star.

Kemudian, kira-kira tengah hari, beberapara orang dipercayai warga asing tanpa dokumen dilihat berada di satu sudut bangunan.

Pada waktu yang sama, trak imigresen dan polis yang diparkir di Jalan Munshi Abdullah masuk ke bangunan itu.

Seorang penduduk kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa tidak memberi makluman berkenaan tujuan kunjungan itu.

Bagaimanapun dia berkata pihak berkuasa mula bertanya tentang kewarganegaraan dan pasport penduduk.

“(Mereka) tiba-tiba datang pada pagi…Saya rasa mereka mengumpulkan pekerja (asing) tanpa dokumen kerana mereka bertanya tentang kewarganegaraan dan pasport.

“Dari beranda, say dapat lihat beberapa trak membawa orang dan beredar dari bangunan,” katanya yang enggan dinamakan.

Seorang lagi penduduk memberitahu Malaysiakini pihak berkuasa memeriksa penduduk warga asing tanpa dokumen.

“Mereka buat pemeriksaan dari pintu ke pintu, kira-kira tiga jam. Saya tak pasti berapa banyak yang ditangkap,” katanya yang juga enggan dinamakan.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkenaan perkara itu. ~ Malaysiakini

‘Pekerja asing elak saringan Covid-19 jika akan ditahan’

Pengumuman kerajaan bahawa semua pekerja asing tanpa dokumen di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan ditempatkan di depoh tahanan imigresen hanya akan menyukarkan pengesanan jangkitan Covid-19 dalam komuniti itu.

Menurut pengarah North South Initiative, Adrian Pereira, pengumuman oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu akan menyebabkan imigran yang tinggal di luar kawasan PKPD takut untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kenyataan Ismail itu mensia-siakan usaha NGO untuk menyakinkan komuniti tanpa dokumen itu tampil melakukan ujian saringan.

“Ini gila. Ia benar-benar langkah ‘bunuh diri’ kerana apabila imigran lain (tanpa dokumen) dengar ini, mereka akan bersembunyi.

“Kami sedang membina kepercayaan mereka untuk pergi mendapatkan rawatan. Kami beritahu mereka bahawa doktor tak akan tangkap mereka, dan motivasi mereka untuk pergi mendapatkan bantuan (perubatan) adalah kerana yakin bahawa tiada tindakan undang-undang ke atas status mereka.

“Ketakutan itu memang benar-benar ada, dan kenyataan ini (Ismail Sabri) hanya akan memaksa mereka semakin jauh menyembunyikan diri,” katanya.

Pereira menambah, menempatkan tahanan di depoh tahanan yang tidak bersih dan sedia sesak, hanya akan meningkatkan risiko jangkitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merawat dan melakukan ujian tanpa diskriminasi.

Bagaimanapun, katanya, sama ada tindakan akan diambil terhadap pendatang asing tanpa dokumen selepas mereka diuji, terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kes positif Covid-19 di beberapa kawasan PKPD kebanyakannya terdiri daripada pendatang asing, seperti Menara City One (41 daripada 55 kes), Selangor Mansion (151 daripada 168 kes) dan Malayan Mansion (10 daripada 12 kes).

PKPD dikenakan di kawasan sekitar pasar borong Kuala Lumpur susulan kematian seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun, yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 pada hari sama dia datang mendapatkan rawatan pada 18 April.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dia pendatang asing tanpa dokumen atau bukan.

Tiada angka rasmi jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia, termasuklah yang tidak mempunyai dokumen sah.

Bagaimanapun, para pengkaji menganggarkan sekurang-kurangnya 3.8 juta pekerja asing berada di negara ini, iaitu suku daripada tenaga kerja negara. ~ Malaysiakini

Belum ada pekerja asing tanpa dokumen tampil buat saringan Covid-19

Imigran tanpa dokumen di negara ini belum mengambil kesempatan yang diberikan oleh kerajaan untuk tampil membuat pemeriksaan Covid-19.

Menurut Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, setakat ini belum ada imigran yang tampil untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes-kes positif di kalangan masyarakat, walaupun ada jaminan kerajaan bahawa tidak ada tindakan yang akan diambil berhubung status mereka.

“Mereka tidak tampil walaupun (kerajaan) dah umumkan (tidak ada tindakan),” katanya kepada Malaysiakini.

Ismail menjawab pertanyaan mengenai pengumumannya dua hari lalu, bahawa semua pendatang tanpa izin yang dikenal pasti di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan doperketatkan (PKPD) akan ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Dia ditanya apakah keputusan terbaru itu akan menyebabkan pendatang tanpa izin lain yang tidak berdokumen di negara ini tidak akan tampil membuat saringan Covid-19.

Bulan lalu, Ismail memberitahu sidang media bahawa warga asing terutama mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh Sri Petaling di Kuala Lumpur diminta untuk hadir untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.

Katanya, warga asing, termasuk mereka yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, boleh tampil tanpa rasa takut dan memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan melihat status imigresen mereka.

Jaminan itu diberikan ketika pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti dan mengesan semua peserta perhimpunan berkenaan, yang dikatakan telah dihadiri oleh sekitar 16,000 orang termasuk 1,500 warga asing.

Sehingga kini, perhimpunan tersebut kekal sebagai kluster jangkitan terbesar di negara ini dengan sekitar 36 peratus kes positif mempunyai kaitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, ketika ditanya mengenai hal ini, mengatakan bahawa fokus Kementerian Kesihatan adalah untuk mengesan kes-kes positif, dan akan menyerahkan keputusan tindakan undang-undang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). ~ Malaysiakini

error: ...