PKP: 15 peratus pelajar IPT tak mahu balik rumah

Pelajar UPM, Khairul Naim Md Padzil, 26, (kiri) bersama Karthi Paramisparan, 27, (tengah) dan Muhammad Fahmi Mohamed Rafie, 23, ketika di kampus. Seramai 15 peratus pelajar IPT tidak mahu pulang ketika PKP kerana ramai yang sedang belajar secara dalam talian, kata Menteri Kanan (Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan tetap menanggung bekalan makanan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang memilih untuk tidak pulang ke rumah masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kira-kira 15 peratus penuntut memilih untuk terus duduk di kampus atau rumah sewa dalam tempoh PKP.

“Kita dapat maklumat, ada penuntut yang tak berminat pulang kerana mungkin akan menduduki peperiksaan. Ada juga pelajar yang belajar dalam talian di universiti ketika ini.

“Mereka tidak mahu pulang kerana mungkin di kampung tidak ada internet untuk mengulang kaji. Yang tinggal di kolej ini, kita akan tanggung makan dan minum mereka seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini. ~ Berita Harian

Sementara Itu Ada Pelajar IPT di zon merah mohon dibenarkan pulang kampung

Sebahagian pelajar UPM dari Kolej Kediaman 12 mengambil makanan berbuka puasa susulan tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini. – Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Pemimpin pelajar menggesa kerajaan turut membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti yang terkandas di zon merah, dibenarkan pulang ke kampung.

Setakat ini, kebenaran pulang ke kampung hanya membabitkan pelajar di zon hijau yang ingin pulang ke kampung yang turut dikategorikan sebagai zon hijau.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (UNISEL) Muhamad Faqih Damarula, berkata kerajaan sepatutnya turut membenarkan pelajar di zon merah balik kampung dengan menetapkan prosedur lebih ketat.

Beliau berkata, pergerakan dari zon hijau ke zon hijau juga memerlukan pelbagai prosedur bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang mengambil masa panjang kerana dijalankan secara berperingkat.

Sehubungan itu, Muhammad Faqih meminta semua pihak termasuk universiti, pihak kebajikan masyarakat dan perwakilan pelajar untuk bekerjasama bagi menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar yang terkandas.

Pandangan sama turut dikongsi Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Muhammad Haziq Azfar Ishak, dengan syarat ia tidak memberi masalah tambahan kepada Kementerian Kesihatan (KMM) dalam mengendalikan proses saringan kepada pelajar.

“Saya berpendapat prosesnya tidak jauh berbeza dengan perantau yang terkandas di kampung dan dibenarkan pulang ke bandar.

“Namun saya percaya, pergerakan ini memerlukan proses lebih ketat, terutama melalui bas berbanding perantau yang bergerak menggunakan kereta,” katanya.

Penuntut Sarjana Instruksi Multimedia,Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Haziq Mansor berkata, tindakan membenarkan hanya pelajar dari zon hijau pulang kampung adalah tidak wajar kerana semua penuntut sudah sebulan lebih terkandas, ditambah pula menghadapi masalah perbelanjaan.

Katanya, tempoh kuarantin lebih sebulan adalah petunjuk pelajar bebas daripada jangkitan COVID-19 dan seharusnya dibenarkan pulang tanpa mengira zon, dengan penambahan prosedur saringan lebih ketat.

Bagaimanapun, bekas Bendahari Kehormat MPP Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar menyokong langkah kerajaan kerana ia dilihat bertujuan mengelakkan penambahan kes dan kewujudan kluster baharu di kalangan pelajar IPT yang menular ke kampung.

Katanya, lebih-lebih lagi kerajaan memberi jaminan bahawa kebajikan mereka yang tidak dapat pulang akan dijaga dan tidak sesekali diabaikan.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Amir Nadzim bin Kaharudin yang turut menyokong langkah kerajaan membenarkan hanya pelajar di zon hijau bergerak keluar, berkata ia adalah proses fasa awal yang baik dan kerajaan kini berjaya meratakan lengkuk kes COVID-19.

“Saya berharap semua pelajar terus bersabar dan kekal tenang dalam situasi ini…semoga Ramadan menjadi medium untuk kita melatih sifat sabar menghadapi cabaran dan norma yang baharu ini,” katanya

Sumber : Berita Harian

error: ...