PKP: “Habis duit bantuan kerana sembang”

Empat nelayan yang sedang bersembang depan rumah ditahan polis kerana ingkar PKP di Kampung Sungai Buaya, Dungun, awal malam tadi.

DUNGUN: “Habis duit bantuan aku bayar denda nanti,” hanya itu yang mampu dirintih seorang daripada empat nelayan yang ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan PKP di Kampung Sungai Buaya dekat sini, awal malam tadi.

Kesemua mereka yang berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan ketika berkumpul di hadapan rumah milik seorang daripada mereka kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata kesemua suspek sedang bersembang sebelum ditahan sepasukan anggota polis yang melakukan pemantauan Ops COVID di kawasan terbabit.

Beliau berkata, kesemua suspek yang bekerja sebagai nelayan itu mengingkari PKP, biarpun kawasan terbabit kini dikategorikan zon oren penularan COVID-19.

“Semua suspek ditahan dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya turut menahan seorang pemuda berusia 23 tahun di tepi jalan Kampung Bunga Raya, kira-kira jam 7.30 malam.

“Suspek yang berjalan bersendirian ketika terserempak polis, cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

“Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, semua suspek melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis akan terus melaksanakan tangkapan secara berterusan sekiranya masih ada orang awam yang ingkar arahan PKP.

“Pada fasa ketiga PKP ini, kami sudah menahan 69 individu yang ingkar PKP. Orang ramai diberi ingatan supaya patuh PKP atau berdepan tangkapan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

error: ...