PKP kembali jika kes cecah 3 angka

KOTA BHARU: Kerajaan akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan.

“Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri.

“Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya kes semakin meningkat,” katanya.

“Kita berharap tindakan kita belum lagi terlewat dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini rentas negeri masih lagi dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP ditetapkan dan tidak mengharapkan pasukan keselamatan.

“Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP.

“Apa yang membimbangkan Aidiladha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan,” katanya yang turut memaklumkan pintu sempadan negara masih ditutup. */ Sumber : Berita Harian

Penduduk Kuching bersedia kemungkinan PKP

SITUASI seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, 18 Mac lalu kelihatan di Kuching hari ini, apabila orang ramai mula membuat pembelian barangan dalam kuantiti yang banyak di beberapa pasar raya utama.

Ia berikutan kebimbangan PKP akan dilaksanakan semula selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Kuching sebagai satu-satunya Zon Merah Covid-19, malam tadi.

Tinjauan di beberapa pasar raya mendapati orang ramai mula membeli barangan keperluan harian dalam kuantiti yang banyak, sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan situasi pandemik itu bertambah serius.

Seorang pengawal keselamatan pasar raya di Batu Kawa yang hanya mahu dikenali sebagai Safuan berkata, jumlah pengunjung meningkat hari ini, namun keadaan masih terkawal dan tiada kesesakan berlaku di dalam premis berkenaan.

“Pengunjung tidaklah terlalu ramai, tetapi apa yang saya perhatikan kebanyakan mereka membeli barang dalam kuantiti yang banyak.

“Saya percaya ia berikutan mereka bimbang PKP akan dilaksanakan,” katanya.

Seorang pengunjung, Cecilia Tan, 56, pula mengakui beliau membeli barang sebagai persediaan jika PKP dikuatkuasakan semula.

“Dulu kita pernah melalui PKP dan sudah tahu macam mana sukarnya untuk membeli barang keperluan. Walaupun pasar raya dibuka ketika itu tetapi kita yang takut untuk keluar.

“Pengalaman itu membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan kerana Kuching kini sudah diisytihar sebagai zon merah,” katanya.

Malam tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan Kuching diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas mencatatkan 41 kes Covid-19, setakat 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam maklumbalas ringkas kepada media hari ini mengesahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengadakan mesyuarat khas petang ini bagi membincangkan perkembangan terkini Covid-19.

“Mesyuarat itu dijangka akan mengambil masa yang lama dan sebarang keputusan yang dicapai memerlukan sokongan KKM untuk diwartakan bagi penguatkuasaan,” katanya ringkas menerusi mesej yang dihantar oleh Setiausaha Akhbarnya, Edward Stephen. */ Sumber : Harian Metro

Polis Kelantan sedia jika PKP dilaksana semula

PASIR PUTEH: Polis Kelantan bersiap sedia sekiranya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika wabak COVID-19 terus meningkat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata pihaknya sudah memperketatkan kawalan terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand sejak PKP Mac lalu.

Katanya, ketika ini juga, polis sedang mengawal kawasan pintu masuk sempadan melalui op benteng dan sekatan jalanraya.

“Memang kita sudah buat sekatan di setiap kawasan sempadan, siapa yang ceroboh masuk, lagipun sekarang ini kita belum buka sempadan (rentas luar negeri).

“Kawalan dah ada, jadi kita cuma perketatkan lagi, apapun kita tunggu arahan dan keputusan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, pihaknya juga memberi tumpuan kes penyeludupan lembu untuk dijadikan korban Aidiladha selain kes penyeludupan dan pergerakan rentas negeri di kawasan sempadan itu.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini tiada kes penyeludupan haiwan ternakan itu dicatatkan selain juga tiada kes kecurian membabitkan lembu tempatan.

“Sejak tertangkapnya kumpulan curi lembu yang diketuai seorang wanita tempoh hari oleh IPD Pasir Puteh, polis tidak menerima sebarang laporan kehilangan lembu, dan ini menunjukkan tangkapan dibuat tepat kepada kumpulan yang terbabit dalam jenayah itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mungkin akan kembali melaksanakan PKP jika kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.

Ini berikutan, negara mencatat kenaikan kes positif pandemik itu empat hari berturut-turut akibat kealpaan rakyat dalam mengikut prosedur operasi standard (SOP). */ Sumber : Berita Harian

error: ...