PKP: Orang awam boleh lihat secara langsung pendengaran kes

KUALA LUMPUR: Orang awam kini boleh melihat pendengaran kes yang dijalankan di mahkamah terbuka secara dalam talian selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tayangan langsung pendengaran kes secara dalam talian itu adalah bagi memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.

 

“Dalam situasi pandemik COVID-19 dan PKP yang dikuat kuasakan oleh kerajaan, Badan Kehakiman menjalankan pendengaran kes tertentu secara dalam talian.

 

“Bagi melengkapkan dan menyokong pendengaran kes secara dalam talian ini, Badan Kehakiman maju selangkah lagi dengan melaksanakan projek perintis iaitu tayangan langsung pendengaran kes secara dalam talian,” katanya.

 

Menurut kenyataan itu, badan kehakiman buat pertama kalinya akan mengadakan tayangan langsung pendengaran kes di Mahkamah Rayuan secara dalam talian pada jam 10 pagi, 23 April ini.

 

Justeru, orang ramai boleh menyaksikan tayangan langsung terbabit melalui portal rasmi badan kehakiman di www.kehakiman.gov.my

 

Sumber : Berita Harian

error: ...