Polis cedera dilanggar mat rempit

KANGAR: Seorang anggota polis cedera di dahi dan perut akibat dilanggar remaja yang cuba melarikan diri kerana berhimpun menyaksikan lumba haram di Jalan Kuala Perlis – Changlun dekat Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis malam tadi.

Remaja berusia 18 tahun itu adalah antara 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun yang ditahan polis dalam satu operasi khas bermula jam 7 malam selepas didapati berhimpun selain menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran, berkata remaja berkenaan yang terkejut dengan kepungan polis bergegas menghidupkan enjin motosikal dan melanggar anggota polis walaupun sudah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.

Polis menahan 45 individu berusia 16 hingga 21 tahun kerana berhimpun dan menunggang motosikal secara melulu di Jalan Kuala Perlis-Changlun malam tadi. – Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

“Dia yang ketika itu menjadi penonton di bahu jalan bersama rakan pembonceng memberikan alasan terlepas cekam (clutch) motosikal jenis Honda RS150 ditunggangnya sehingga melanggar anggota polis.

“Namun alasan itu tidak munasabah kerana ramai orang awam dan anggota polis yang menyaksikan kejadian itu,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan tamat tengah malam tadi.

Mohd Rizal berkata, anggota terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan.

Dalam operasi itu yang tamat jam 11.30 malam tadi, 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tiga motosikal disita kerana didapati digunakan untuk berlumba.

Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap tiga remaja berusia 18 tahun hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) dan 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Astro Awani

Anggota polis cedera dirempuh 10 motosikal

KLUANG: Seorang anggota polis cedera di beberapa bahagian badannya selepas dirempuh kira-kira 10 buah motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan polis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian berlaku ketika polis sedang menjalankan Ops Lebaran di Jalan Lingkaran Tengah, Stadium Kluang lewat malam tadi.

Sebelum serbuan, ramai orang berkumpul di kawasan tersebut sambil menunjukkan aksi berbahaya.

Menyedari kehadiran polis, kumpulan tersebut cuba melarikan diri namun gagal.

Mohd Abduh berkata, dalam operasi tersebut seramai 91 individu berjaya ditahan, selain pihak berkuasa turut merampas 74 motosikal dan enam buah kereta.

Kes disiasat mengikut seksyen 353, seksyen 269, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020, dan seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Astro Awani

error: ...