Punca lelaki banyak dijangkiti Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 23 MEI 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata terdapat pelbagai faktor membabitkan jangkitan Covid-19 kepada lelaki.

Ia termasuk faktor perbezaan gender serta ketahanan tubuh badan mengakibatkan lebih ramai lelaki didapati dijangkiti.

Beliau berkata kedua-dua faktor itu dilihat dalam kajian mengenai virus penyakit berkenaan.

“Ini virus baharu dan kita masih belajar kerana banyak perkara yang kita tak tahu. Kita berharap dengan banyak kajian kita dapat kenal pasti sama ada wujud perbezaan antara lelaki dan wanita… pastinya ada perbezaan antara yang muda dan tua serta mereka yang sihat atau yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Ini berkaitan dengan ketahanan tubuh masing-masing. Kita perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan sama ada ketahanan tubuh kita terbantut,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pemerhatian mendapati apabila wabak itu menjangkiti tubuh, ia boleh menyebabkan radang pada paru-paru selain menyerang saluran darah, mengakibatkan pembekuan darah, kerosakan kepada jantung dan buah pinggang.

Bagaimanapun, tambah Noor Hisham, kajian masih dijalankan untuk melihat sama ada respon tubuh badan terhadap jangkitan turut menyebabkan ketahanan terbantut antara 20 hingga 30 peratus.

Sebelum ini, BBC Indonesia melaporkan, Philip Goulder, seorang profesor imunologi di Universiti Oxford berkata, salah satu teori adalah imuniti perempuan terhadap virus lebih kuat.

Beliau dilaporkan berkata, tindak balas imunisasi seorang perempuan terhadap vaksin dan jangkitan biasanya lebih agresif dan lebih efektif dibandingkan lelaki. – Sumber : MalaysiaGazette

Pesakit bergejala SARI adalah pesakit COVID-19

Jika anda mengalami masalah pernafasan seperti sesak nafas serta sakit dada, jangan terkejut bila anda diletakkan di ruang khas dan dirawat petugas kesihatan yang lengkap memakai Personal Protection Equipment (PPE).

KKM telah membuat polisi iaitu setiap pesakit yang bergejala severe acute respiratory infection (SARI) atau jangkitan pernafasan akut teruk terutama pneumonia/radang paru-paru dianggap positif COVID-19 sehinggalah ujian makmal memberikan keputusan sebaliknya.

Polisi ini bukan saja untuk semua fasiliti kesihatan KKM tapi turut terpakai di pusat-pusat perubatan swasta.

Kenapa ada polisi ini?

Bagi melindungi petugas kesihatan daripada dijangkiti COVID-19. Telah berlaku beberapa kes jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan KKM dan swasta selepas merawat pesakit bergejala SARI dan bergejala ringan.

Contoh kes ialah melibatkan Kluster PUI Bali. Seorang pesakit (keluarga terdekat kepada kes indeks kluster itu) telah dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Kuantan kerana masalah sesak nafas dan dirawat sebagai pesakit biasa.

Hasil ujian makmal kemudiannya, individu itu disahkan positif COVID-19 dan telah menjangkiti beberapa petugas kesihatan dan pesakit lain.

Apa pesakit perlu lakukan?

Sila bersikap jujur dengan memberikan maklumat benar kepada petugas kesihatan tentang masalah kesihatan yang dialami termasuklah gejala ringan seperti selesema atau batuk.

Pesakit juga jangan sembunyikan maklumat jika ada hubungan rapat/ kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Maklumat tidak benar meletakkan petugas kesihatan dalam bahaya.

Jangkitan daripada pesakit bergejala SARI dan bergejala ringan adalah antara punca berlakunya jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negara kita.

Tiada satu kes pun yang berlaku disebabkan jangkitan dari pesakit COVID-19 yang dirawat di wad isolasi atau ICU di hospital KKM.

Kes-kes pesakit bergejala SARI adalah salah satu daripada aktiviti survelan (pengawasan) oleh KKM sebagai pengesanan awal situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam komuniti. / Sumber : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kerajaan belanjakan RM4.3 juta saring PATI

KUALA LUMPUR – Kerajaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM4.3 juta untuk melakukan saringan koronavirus (Covid-19) kepada 14,496 warga asing yang ditahan di 14 depot Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Ia berdasarkan anggaran kos RM300 bagi setiap seorang yang menjalani saringan termasuk swab test atau calitan tekak untuk sekali saringan.

Sekiranya saringan dijalankan lebih daripada sekali, kos yang ditanggung untuk warga asing berkenaan menjadi lebih tinggi, malah ia belum dikira dengan pembiayaan bagi rawatan.

Pada masa yang sama kerajaan turut membelanjakan lebih RM5.2 juta sebulan bagi menampung kos makanan. Jumlah ini adalah bersamaan RM173,952 atau RM12 sehari bagi setiap seorang dan kebanyakan daripada mereka terpaksa berada di depot dalam tempoh sebulan hingga dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Setiap hari, PATI akan diberikan makan empat kali iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Menunya juga diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).Penyediaan makanan untuk PATI di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka. – Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Kos ini tidak termasuk dengan jumlah 382 PATI yang sedang dirawat kerana menghidap penyakit koronavirus (Covid-19) dari tiga depot tahanan Imigresen yang terletak di Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan kelmarin berkata, daripada jumlah itu, 110 daripada PATI yang positif Covid-19 sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk rawatan.

Pada masa yang sama katanya, seramai 238 pegawai Imigresen yang bertugas di tiga depot tahanan terbabit dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Setakat September tahun lalu, seramai 41,041 warga asing dari pelbagai negara telah diusir pulang oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan, majoritinya adalah masuk ke negara ini dengan cara haram. Untuk rekod, sebanyak 137 pintu masuk sah negara yang ditadbir urus oleh Jabatan Imigresen seluruh negara. Berdasarkan laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019, dianggarkan RM1.17 bilion digunakan bagi mengurus hal ehwal Imigresen.

Selain itu, kerajaan juga telah melancarkan program Back For Good (B4G) hujung tahun lalu bagi memberi peluang kepada PATI pulang ke negara masing-masing dengan cara sah tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Setakat 1 Januari 2020, seramai 165,040 PATI sudah dihantar pulang melalui program ini. Lima negara merekodkan jumlah PATI paling ramai berdaftar antaranya Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan. Sumber : Sinar Harian

error: ...