Putin dakwa Russia daftar vaksin COVID-19 pertama dunia

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan kerajaannya sudah mendaftarkan vaksin pertama di dunia untuk COVID-19, dengan memaklumkan anak perempuannya sendiri sudah menerima vaksin terbabit.

Katanya, pendaftaran oleh kerajaan itu menjadikan negaranya yang pertama di dunia mendaftarkan vaksin untuk COVID-19 selepas ujian klinikal diselesaikan dalam tempoh kurang dua bulan, dengan ujian fasa tiga akan dimulakan tidak lama lagi.

“Setahu saya, vaksin untuk rawatan jangkitan COVID-19 sudah didaftarkan pagi ini, sekali gus menjadikannya yang pertama di dunia.

“Walaupun saya tahu ia berkesan dan membentuk sistem imuniti yang stabil, saya ulang bahawa vaksin ini sudah melepasi semua pemeriksaan yang diperlukan,” katanya, seperti mana dilaporkan agensi berita RIA Novosti.

Putin juga mengesahkan bahawa anak perempuannya adalah antara sukarelawan yang menyertai ujian vaksin terbabit.

Sementara itu, ketua Dana Pelaburan Russia, Kirill Dmitriyev, yang membiayai projek vaksin itu, berkata ia diberi nama ‘Sputnik V’ sempena satelit negara itu.

“Ujian fasa tiga akan bermula esok dan pengeluaran besar-besaran dijangka dilakukan menjelang September ini.

“Vaksin dibangunkan Gamaleya (Institut Penyelidikan Saintifik Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya) ini sudah menerima tempahan lebih satu bilion dos dari 20 negara.

“Russia bersama rakan kongsi asing bersedia untuk menghasilkan 500 juta dos setahun di lima negara,” katanya.

Akhir Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan terdapat 26 vaksin berpotensi pada peringkat penilaian termasuk satu yang didaftarkan di Russia, dibangunkan Institut Penyelidikan Saintifik Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya.

Pendaftaran vaksin berkenaan diperkatakan awal bulan ini, dengan Menteri Kesihatan Russia, Mikhail Murashko, memberitahu media awal bulan ini bahawa ujian klinikal vaksin itu sudah selesai.

“Ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dibangunkan Gamaleya sudah selesai, dan kertas kerja berhubung pendaftaran vaksin sedang dilakukan,” katanya, menurut laporan agensi berita Tass. – AGENSI / Berita Harian

COVID-19: Jika vaksin Rusia bermasalah, ia jejas kepercayaan awam – Saintis

PENGUMUMAN Rusia berjaya menghasilkan vaksin COVID-19 pertama di dunia mengundang keraguan dan kebimbangan.

Dalam kalangan pakar di antarabangsa, mereka masih skeptikal dan mempertikaikan keputusan ujian klinikal itu memandangkan tempoh kelulusan yang singkat.

Para saintis di Rusia dan negara lain memberi amaran bahawa tindakan terburu-buru menawarkan vaksin sebelum ujian peringkat akhir selesai boleh menimbulkan risiko.

Percubaan fasa tiga melibatkan puluhan ribu sukarelawan dan boleh memakan masa berbulan lamanya dan ia satu-satunya cara membuktikan sama ada vaksin itu berkesan dan selamat.

Seorang pakar di Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins University, Amesh Adalja, melahirkan kebimbangan, sekiranya vaksin Rusia bermasalah, ia akan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sebarang vaksin COVID-19 selepas ini.

“Saya berpendapat, ada kemungkinan ia berbahaya untuk dilakukan sebelum kita tahu sejauh mana vaksin itu selamat dan efektif.

“Kerana, ketika ini kita terlibat dalam satu perlumbaan global untuk membangunkan satu vaksin secepat mungkin.

“Dan kita bukan saja perlu bimbang tentang keselamatan dan keberkesanannya, tetapi harus mewujudkan keyakinan kepada orang ramai sehingga mereka benar-benar ingin mengambil vaksin ini.

“Dan sekiranya ada sesuatu yang tidak kena, ia akan jadi satu halangan buat kita. Oleh itu, kita mesti sangat berhati-hati dalam melakukannya.

“Sekiranya sesuatu berlaku dalam pengalaman Rusia dari segi isyarat keselamatan baru ini, atau mungkin ia kemudiannya didapati tidak begitu berkesan, perkara ini akan mewarnai kesemua vaksin lain dan menyukarkan usaha menyampaikan mesej kesihatan awam,” katanya. 

Terdahulu, Presiden Vladimir Putin mendakwa Rusia menjadi negara pertama di dunia meluluskan vaksin COVID-19, selepas dua bulan mengujinya ke atas manusia.

Tegasnya, dengan kejayaan ini, kepakaran negara itu dalam bidang saintifik sudah terbukti. 

Namun begitu, vaksin itu masih perlu melalui ujian terakhir.

Putin menekankan, vaksin berkenaan melalui ujian-ujian yang diperlukan dan terbukti berkesan.

“Setahu saya, vaksin COVID-19 pertama diluluskan. Saya tahu ia terbukti berkesan dan mewujudkan imuniti badan yang stabil. Ia telah melepasi segala ujian yang diperlukan,” katanya.

Malah, beliau juga memaklumkan, anak perempuannya sendiri sudah menerima vaksin terbabit. 

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Rusia memberitahu, vaksin berkenaan dijangka menawarkan imuniti daripada jangkitan itu sehingga dua tahun.

Kata kementerian itu, fasa ketiga ujian klinikal bermula hari ini (Rabu).

Dakwaan Moscow itu juga turut mengundang kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jurucakap WHO memaklumkan, pra kelulusan sebarang vaksin perlu melalui penilaian ketat badan terbabit.

“Kami sedang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia berhubung isu pra kelulusan vaksin COVID-19.

“Tetapi pra kelulusan apa jua vaksin memerlukan penilaian ketat berhubung data keselamatan yang diperlukan,” kata jurucakap itu.

Menurut data WHO, sekurang-kurangnya empat vaksin kini dalam fasa ketiga ujian klinikal ke atas manusia sementara lebih 100 vaksin COVID-19 sedang dibangunkan di seluruh negara.

Rusia setakat ini mencatatkan hampir 900,000 kes COVID-19 dengan lebih 15,000 kem@tian. */ Astro Awani

error: ...