Rantaian jangkitan COVID-19 hampir putus di Malaysia Tapi Masih Ada lagi Yang Ingkar PKPB

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Perkembangan semasa kes COVID-19, menyaksikan Malaysia hampir berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak itu yang dikesan menyusup masuk ke negara ini pada Januari lalu.

Menaruh keyakinan sedemikian, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berdasarkan jumlah kes positif yang semakin menyusut, selain tiada kematian direkodkan untuk hari kelapan berturut-turut.

“Menerusi saringan yang kita jalankan juga mendapati kebanyakan keputusan adalah negatif atau hampir 95 peratus ketika ini, manakala positif adalah tidak ramai berbanding dulu.

“Ia tampak seperti kita hampir boleh putuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini, mungkin kita hanya perlukan sedikit masa saja lagi,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini. */ Sumber : Berita Harian

Tapi Masih Ada lagi Yang Ingkar PKPB: Lapan dikompaun kerana lepak bersama

MANJUNG: Tindakan lapan individu termasuk dua wanita, ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menerima padah apabila dikompaun dekat Pasir Panjang, Seri Manjung, semalam.

Polis membuat pemeriksaan terhadap orang ramai yang ingkar PKPB dengan berkumpul di Pasir Panjang, Seri Manjung, semalam. FOTO IHSAN POLIS DAERAH MANJUNG

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, kumpulan lelaki dan wanita berusia di antara 24 dan 25 tahun terbabit didapati sedang berkumpul di kawasan parkir hadapan sebuah tokong di situ tanpa tujuan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam kenyataannya, berkata lapan individu itu ditahan sepasukan anggota yang menjalankan Op COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Mereka dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan berkumpul beramai-ramai yang ketika ini masih tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

“Semua individu berkenaan dibawa ke IPD Manjung untuk tujuan dokumentasi dan perlu membayar kompaun RM1,000 dalam tempoh 14 hari di Pejabat Kesihatan Sitiawan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, polis sentiasa menjalankan pemantauan mengikut arahan PKPB dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengingkarinya. */ Sumber : Berita Harian

Singapura, Vietnam, Korea bertindak luar biasa tangani COVID-19: WHO

SINGAPURA: Vietnam, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan prestasi baik memerangi COVID-19 dengan membina hospital, melakukan pengesanan kontak serta mengasingkan pesakit.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof David Heymann, yang mempengerusikan Kumpulan Penasihat Strategik dan Teknikal untuk Penyakit Berjangkit, berkata tiga negara Asia itu dilihat melakukan persiapan sebaiknya.

“Ini mungkin kerana ada pengalaman mengendalikan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda sebelum ini.

“Mereka membangunkan kapasiti yang diperlukan di hospital untuk berhadapan dengan lonjakan kes selain melakukan pengesanan kontak dan mengasingkan pesakit, yang sering diabaikan banyak negara lain pada awal wabak ini.

“Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam berupaya mengekalkan bilangan reproduktif yang rendah dan melakukan teknik ‘pemutus rantaian’ lebih unik berbanding melaksanakan perintah berkurung secara menyeluruh.

“Sebaliknya, anda menutup sebahagian ekonomi dan membukanya kembali secara berperingkat,” katanya ketika perbincangan panel anjuran The Straits semalam.

Menyertai beliau ialah Dekan Kolej Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura, Prof Teo Yik Ying.

Heymann, yang juga pakar epidemiologi penyakit berjangkit di London School of Hygiene and Tropical Medicine, berkata membuka ekonomi secara berperingkat adalah sesuatu yang boleh diterima.

“Kita harus belajar untuk hidup dengan penyakit ini selagi ia ada bersama kita dan langkah terbaik ialah untuk memulakannya dengan berhati-hati.

“Ia perlu diselaras dengan sistem pemantauan bagi pembukaan sekolah, perniagaan dan meneruskan kehidupan, seperti mana yang berlaku di Eropah,” katanya.

Setakat semalam, 34,366 penduduk di Singapura dijangkiti dengan COVID-19 dengan 23 kematian termasuk ratusan kes baharu harian membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Korea Selatan, dengan 11,441 kes COVID-19 termasuk 269 kematian, melaksanakan semula langkah penjarakan sosial apabila pegawai kesihatan mengumumkan 79 kes baharu kelmarin.

Sementara itu, Yik Ying, ketika ditanya berhubung kawasan penularan wabak yang banyak berlaku ketika ‘pemutus rantaian’ berkurangan, mencadangkan tahap risiko itu bergantung kepada sama ada seseorang individu mengamalkan langkah berjaga-jaga.

“Tiada siapa pun yang boleh menjamin bahawa ketika langkah kawalan ketat dilonggarkan, tidak akan berlaku peningkatan kes.

“Apa yang kita tahu, berdasarkan data Singapura ialah di kebanyakan negara lain, COVID-19 menular dengan pantas apabila berlakunya interaksi secara dekat, sama ada berbual atau makan bersama.

“Inilah sebabnya banyak kerajaan di seluruh dunia, begitu juga dengan WHO, kerap mengingatkan kepentingan penjarakan sosial, kurangkan interaksi fizikal, kebersihan diri yang baik, dan memakai pelitup muka,” katanya. – AGENSI */ Sumber : Berita Harian

error: ...