Ratusan warga asing di Pasar Borong KL digempur

SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin yang dikumpulkan pihak berkuasa ketika operasi membasmi pendatang asing di Pasar Borong Kuala Lumpur. NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Ratusan warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, digempur Jabatan Imigresen (Imigresen), hari ini.

Pasar itu dipercayai dibanjiri pekerja warga Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal.

Serbuan mengejut itu bermula jam 8.30 pagi tadi selepas pegawai dan anggota Imigresen mengepung kawasan pasar terbabit.

Namun, rata-rata pengamal media yang hadir membuat liputan tidak dibenarkan berada berhampiran kawasan itu, termasuk merakam video dan gambar.

Kira-kira jam 11 pagi, anggota Imigresen dilihat membawa keluar sebahagian besar warga asing dari pasar yang sudah diperiksa dan berkemungkinan mereka yang mempunyai pelbagai jenis kesalahan membabitkan Peraturan dan Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata operasi berkenaan diketuai oleh Imigresen dengan dibantu polis.

“Polis dan beberapa agensi lain membantu dari segi keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media, sebentar tadi.

Selain polis, operasi itu turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Hingga jam 11.30 pagi tadi, operasi masih berjalan dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Imigresen, setakat ini.

Sumber : Berita Harian

DBKL sita 5 premis dikendali warga asing tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup dan menyita lima premis perniagaan dikendalikan warga asing tanpa kebenaran di Jalan Berangan dan Jalan Asoka, dekat Bukit Binatang, di sini, hari ini.

Tindakan itu susulan operasi pemeriksaan dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL di kedua-dua lokasi berkenaan.

DBKL dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi memaklumkan tiga premis perniagaan di Jalan Berangan yang ditutup itu menjalankan perniagaan kedai runcit dan buah-buahan.

Di Jalan Asoka pula, penutupan membabitkan sebuah kedai runcit yang turut menjual barangan basah dan sebuah restoran.

Katanya, DBKL akan terus mengambil tindakan seumpama itu daripada semasa ke semasa dalam memastikan tiada warga asing mengambil kesempatan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di sekitar ibu negara.

Rabu lalu, Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan, dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terbabit dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan seperti mana diperuntukkan menerusi peraturan berkenaan.

Beliau berkata, untuk itu, DBKL akan menjalankan tindakan penguatkuasaan yang turut membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). ~ Berita Harian

error: ...