Rentas Negeri: Kena Kompaun Dulu Sebelum Diarah Patah Balik

Mulai hari ini pengguna jalan raya yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran bukan saja akan diarah berpatah balik, tetapi dikompaun di sekatan jalan raya yang berkaitan.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini polis hanya mengarahkan pengguna jalan raya yang terlibat agar berpatah balik saja.

“Mulai hari ini kerajaan bersetuju supaya mereka bukan saja diarah berpatah balik tetapi dikompaun di tempat sekatan jalan raya itu diadakan,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya.

Beliau menambah langkah tersebut diambil kerana kerajaan mahu orang ramai benar-benar sedar bahawa larangan yang dikenakan adalah serius dan pihak berkuasa tidak mahu perjalanan rentas negeri berlaku tanpa kebenaran.

“Sebab itu tak ada kompromi lagi, tak ada tolak ansur lagi bagi perjalanan rentas negeri ini,” katanya.

Berdasarkan peruntukan sekarang, mana-mana pemandu yang ditahan kerana melanggar SOP rentas negeri kini boleh dikenakan kompuan RM1,000 dan ia perlu dibayar dalam tempoh dua minggu dari tarikh ia dikeluarkan.

Mengenai individu yang sudah melepasi sekatan untuk pulang ke kampung pula, Ismail Sabri berkata, ada kemungkinan mereka tidak akan terlepas begitu saja kerana tindakan masih boleh diambil semasa mereka kembali semula nanti.

Ditanya mengenai individu yang menguar-uarkan ‘kejayaan’ mereka melepasi sekatan jalan raya, Ismail Sabri berkata, ia mungkin melibatkan perjalanan melalui ‘laluan tikus’.

Pun begitu, kata beliau, ia tidak bermakna individu terbabit akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kes seperti ini saya yakin polis akan cari juga (mereka) selepas raya nanti,” katanya.

Ismail Sabri juga menegaskan orang ramai tidak perlu membuang masa atau mencuba nasib untuk mendapatkan kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri bagi kes bukan kecemasan. 

“Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini,” katanya yang mengulas mengenai sikap sesetengah orang yang rela berbaris panjang untuk mendapatkan kebenaran berkenaan. !~Malaysiakini

error: ...