Rohingya berselindung di pulau sempadan

PERATUSAN pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyusup masuk ke negara ini melalui laut adalah sangat tinggi berikutan sempadan perairan negara hanya 2.5 batu nautika dengan pulau di sempadan Thailand.

Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Abd Hamid Ali berkata, ini berikutan pulau-pulau negara jiran yang terdekat dengan perairan negara adalah antaranya Pulau Tarutao, Koh Lipe dan Pulau Koh Adang.

ANGGOTA Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melakukan tinjauan udara dari pesawat TUDM di sekitar kawasan perairan Langkawi, semalamuntuk memantau jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan Pati. FOTO Bernama

“Pulau-pulau berkenaan mempunyai persempadan negara yang kecil dari Pulau Langkawi dan pulau ini dipercayai menjadi tempat mereka berselindung sebelum menceroboh masuk ke perairan negara ini.

“Oleh itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin sentiasa bertugas siang dan malam bagi mengawai sebarang pencerobohan,” katanya kepada Bernama dalam liputan eksklusif media bersama Pasukan Petugas Kebangsaan.

Abd Hamid berkata, pihaknya mempunyai tiga sektor (pejabat operasi) yang mengkoordinasi dan mengawasi sempadan perairan negara di Pulau Langkawi daripada diceroboh oleh PATI.

“Sektor pertama adalah APMM, sektor kedua adalah polis marin dan sektor ketiga adalah TLDM yang masing-masing mempunyai komandernya sendiri untuk lapor sebarang kegiatan kemasukan pendatang tanpa izin di perairan negara,” katanya.

RAKAMAN gambar tinjauan udara dari pesawat TUDM di sekitar kawasan perumahan Bukit Malut Langkawi yang dipercayai menjadi tempat tinggal pendatang tanpa izin ketika Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melakukan tinjauan, semalam. FOTO Bernama

Beliau berkata penugasan koordinasi bersama ketiga-tiga agensi penguatkuasa berkenaan adalah lebih mudah walaupun ia dikoordinasikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah lebih terjamin khususnya dalam Op Benteng.

Ditanya mengenai cabaran dalam mengekang kemasukan PATI, Abd Hamid berkata antara cabaran besar adalah keterlibatan orang awam yang menjadi dalang kegiatan penyeludupan PATI etnik Rohingya.

“Dalam menentukan keselamatan perairan negara ini terjamin sepenuhnya, pihak kami bekerjasama dengan komuniti maritim yang sentiasa melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada kemasukan PATI di perairan negara.

“Sebelum ini, beberapa kes kemasukan PATI di perairan negara berjaya dihalang atas makluman awal komuniti maritim,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Hamid menegaskan bahawa pihak berkuasa sedang mengawasi tekong darat dan laut yang terbabit secara langsung atau bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, diminta mengulas tangkapan 269 warga Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, beliau berkata, ujian saringan Covid-19 terhadap mereka didapati negatif.

“Mereka (PATI) tidak didedahkan kepada rakyat tempatan Pulau Langkawi malah tiada risiko jangkitan Covid-19 kepada anggota bertugas ketika mengendalikan mereka kerana anggota telah dilengkapi dengan pakaian perlindungan selengkapnya,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, Bernama melaporkan 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan oleh pihak berkuasa dan menemukan m@y@t seorang wanita dalam bot yang dinaiki mereka.

*/ Sumber Artikel : MyMetro

Tekong raih sehingga RM15,000 seludup Pati

DEMI mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan Pati yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.

“Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang Pati.

“Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu,” katanya.

Pihak NTF sudah mengenal pasti laluan masuk Pati terbabit membabitkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor dan tenggara Johor.

“NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203, laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202) dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan Pati terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

“Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

“Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara,” katanya.

Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.

*/ Sumber Artikel : MyMetro

error: ...