‘Semuanya salah faham sebab gelang dipakai abah’

“APA yang berlaku terhadap abah disebabkan salah faham mengenai gelang dipakainya selepas keluar dari hospital yang tidak ditanggalkan,” kata anak kepada lelaki warga emas yang didakwa hadir di Balai Polis Sentul dengan memakai gelang kuarantin, semalam.

Menurut wanita berkenaan yang enggan namanya disiarkan, dia menjemput bapanya berusia 81 tahun dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 8 malam kelmarin, apabila dibenarkan keluar selepas menerima rawatan sejak 14 Ogos lalu akibat sesak nafas selain masalah jantung.

Katanya, sebaik tiba di kawasan rumah, bapanya terdengar azan sedang berkumandang dan memaklumkan dia mahu menunaikan solat Isyak di sebuah surau di Segambut.

“Abah memaklumkan dia tidak dibenarkan masuk oleh jemaah surau kerana terdapat gelang pada tangannya yang disangka gelang kuarantin.

“Ketika abah mahu menjelaskan mengenai gelang itu, ada seorang jemaah surau dikatakan menolaknya. Pada awalnya, abah tidak menceritakan kejadian yang berlaku di surau kepada kami (ahli keluarga).

“Malah, dia hadir berseorangan dengan menaiki motosikal ke Balai Polis Sentul pada keesokan harinya (semalam) untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wanita itu berkata, ketika berada di Balai Polis Sentul, bapanya sudah menanggalkan gelang berwarna merah itu dan meletakkannya di dalam beg sebelum ia ditunjukkan kepada anggota polis bertugas bagi menjelaskan kejadian yang berlaku di surau berkenaan.

“Bagaimanapun, situasi itu menyebabkan kekeliruan kepada anggota polis bertugas yang menyangka abah adalah individu dikuarantin sebelum mereka menghubungi pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

“Saya hanya menyedari kejadian ini selepas melihat gambar abah yang berada di Balai Polis Sentul tular di media sosial, semalam. Saya cuba menghubungi abah, namun panggilan tidak dijawab.

“Beberapa jam selepas itu, ada pihak hospital menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan dan saya menjelaskan bahawa gelang itu dipasang ketika abah menerima rawatan di HKL,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga termasuk bapanya tidak perasan dengan gelang yang dipakainya sehingga berlaku kekecohan itu.

“Apa yang berlaku ini cuma salah faham dan abah bukanlah individu yang ingkar arahan kuarantin atau pesakit Covid-19,” katanya.

Terdahulu, satu status tular di media sosial mendakwa seorang lelaki warga emas hadir di Balai Polis Sentul dengan memakai gelang kuarantin untuk membuat laporan polis di balai berkenaan menyebabkannya ditutup sementara.

Semalam, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan hanya kawasan berhampiran kaunter pertanyaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditutup dan bukannya keseluruhan balai berkenaan akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah dilaporkan berkata, Balai Polis Sentul beroperasi seperti biasa bermula 4 petang semalam, selepas proses sanitasi kedua. */ Sumber : Harian Metro

Berita Berkaitan : Hanya kaunter pertanyaan IPD Sentul ditutup

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan hanya kawasan berdekatan kaunter pertanyaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sahaja ditutup dan bukannya keseluruhan balai berkenaan.

Beliau berkata, penutupan kawasan berkenaan dibuat selepas polis mendapati seorang lelaki yang memakai gelang kuarantin Covid-19 hadir ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis.

“Seorang lelaki itu diganggu, jadi beliau ke Balai Polis Trafik Sentul untuk buat laporan. Setibanya lelaki itu di sana pihak polis dapati dia memakai gelang kuarantin serta ada gejala batuk.

“Pihak polis memaklumkan perkara berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak kementerian meminta kawasan dilalui lelaki itu ditutup.

“Bagaimanapun, operasi balai berkenaan berjalan seperti biasa, cuma kawasan di kaunter pertanyaan sahaja ditutup,” katanya kepada media selepas menghadiri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Putrajaya, hari ini.

Abdul Hamid berkata, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan KKM, petang ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai notis yang ditampal di hadapan pagar IPD Sentul mengenai penutupan balai berkenaan.

Menurut notis terbabit balai itu akan ditutup sementara waktu sehingga satu masa akan diumumkan nanti. */ Sumber : Harian Metro

error: ...