Surat warga asing jalani saringan bukan lencana & Cukup, usah bagi muka & enggan bayar kos kuarantin akan diambil tindakan

EXCO Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo (berdiri tengah) menyaksikan kerja saringan COVID-19 untuk pekerja asing di tapak pembinaan di Padang Polo, Georgetown. – Foto Danial Saad

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan memberikan lencana kepada warga asing yang sudah menjalani ujian saringan COVID-19 kerana ia akan memberi gambaran seolah-olah mereka sudah bebas virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keputusan ujian yang dijalankan adalah untuk waktu itu saja dan golongan itu masih terdedah untuk dijangkiti virus berkenaan.

“Bagi ujian ke atas warga asing, kita akan bagi keputusan dalam satu surat, bukan lencana. Jika kita bagi lencana, ia seperti satu pas.

“Ini disebabkan ujian itu adalah untuk masa itu saja. Selepas satu atau dua minggu, mereka masih terdedah kepada COVID-19 dalam masyarakat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan lencana bagi warga asing yang sudah menjalani saringan COVID-19.

Sementara itu, mengulas mengenai kes kematian ke-110 membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditemui maut di Rompin, Pahang, Dr Noor Hisham berkata, siasatan mengenai punca jangkitan masih dijalankan.

“Kontak rapat masih dalam proses dikenal pasti untuk kita menjalankan saringan dan pelaporan lanjut akan kita maklumkan bila kita sudah mendapat laporan penuh,” katanya. !~ Berita Harian

Cukup, usah bagi muka!

HARI ini ratusan pekerja asing tanpa dokumen ditahan dan dihantar ke depoh tahanan imigresen. Ribuan lagi menanti hari untuk diserbu dan ditangkap. Jumlah mereka bukan sedikit, dikatakan menjangkau hingga empat juta seperti yang dilaporkan oleh beberapa media utama.

Buat masa ini, negara kita bukan saja menjadi tumpuan pekerja asing Rohingya, Bangladesh dan Indonesia semata-mata, malah warga China, India serta Afrika menjadikan Malaysia sebagai safe heaven untuk mendapatkan pekerjaan dan melakukan pelbagai aktiviti jenayah.

Pelbagai laporan juga mendedahkan bagaimana Malaysia menyediakan pelbagai tarikan dan kemudahan untuk aktiviti berkaitan jenayah yang melibatkan kumpulan pekerja asing ini. Pasar Borong Selayang, Bandar Diraja Klang, tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak, Johor Bahru dan lain lagi adalah tempat yang selamat untuk mereka. Konsep demand and supply menjadikan industri ini akan terus subur dan berkembang dari semasa ke semasa.

Pembangunan fizikal yang rancak dan pesat di negara ini menjadikan permintaan untuk tenaga kerja buruh murah dan segera amat diperlukan.

Pemain utama dalam industri pembinaan menyediakan kehidupan di rumah kongsi kepada pekerja asing ini. Perumahan pekerja yang rata-ratanya tidak tersusun dan kotor di kawasan pembinaan itu menjadi kawasan persembunyian paling selamat untuk kumpulan pekerja asing ini. Dipercayai ramai antara mereka sama ada tidak mempunyai dokumen, dokumen tamat tempoh, dokumen tidak sah atau palsu tinggal di kawasan penempatan terbabit.

Golongan pekerja asing berjaya membina koloni di pelbagai kawasan dan daerah yang dirasakan sesuai oleh mereka. Oleh itu, pelbagai aktiviti tidak sihat juga muncul dalam komuniti ini termasuk jenayah.

Aktiviti pemerasan dan ugutan hingga ada yang menjadi gengster dapat diikuti di media massa seperti kes Long Tiger yang ditangkap di Johor baru-baru ini. Sindiket pemalsuan pasport, kad pengenalan dan dokumen lain juga mudah didapati di kawasan penempatan yang tersembunyi dan tidak terancang ini. Laporan media memperlihatkan bagaimana kelompok ini ‘membeli’ penguat kuasa dengan wang dikenali sebagai wang perlindungan dan wang kopi.

Melihat kepada isu Covid-19, terasa betapa sukarnya kerajaan mendapatkan kerjasama daripada pekerja asing untuk aktiviti saringan kesihatan. Perkara ini pasti berlaku kerana mereka tidak berani berhadapan penguat kuasa disebabkan ketiadaan dokumen dan pemahaman yang mereka akan ditangkap serta perlu membayar sejumlah wang untuk melakukan ujian kesihatan itu.

Sejak akhir April hingga artikel ini ditulis, hampir 50 peratus kes baharu harian direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datangnya daripada kluster pekerja asing. Ini menyebabkan masalah Covid-19 dalam kalangan pekerja asing akan menjadi dilema lama yang tidak berkesudahan.

Pasca Covid-19 yang bakal dilalui Malaysia tidak lama lagi adalah ujian besar kepada pengurusan pekerja asing di negara ini. Kerajaan sudah memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 9 Jun 2020, bagaimanakah pengurusan pekerja asing di Malaysia selepas ini? Adakah masih di takuk lama seperti dibincangkan di atas?

Disarankan kerajaan Malaysia belajar daripada Singapura, lihat cara pengurusan pekerja asing terutama pekerja kelompok 3D yang dilakukan oleh pemerintah Kota Singa itu. Semua pekerja asing ditempatkan di satu kawasan penempatan yang tersusun dan bersistematik di 43 asrama yang menampung lebih 200,000 pekerja asing.

Semua data tempat tinggal mereka disiarkan di laman web rasmi Kementerian Buruh. Pengangkutan dari penempatan atau asrama ke kawasan pembinaan disediakan kontraktor dan diselenggarakan dengan cukup teratur. Pekerja asing ini boleh keluar dan berhibur dalam masa ditetapkan serta tempat diwartakan untuk memenuhi tuntutan naluri mereka.

Dengan cara ini, kerajaan Singapura dapat mengetahui segala pergerakan dan aktiviti yang dilakukan pekerja asing yang tinggal di negara mereka. Malah, bukan saja aktiviti jenayah, apa sahaja aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara akan dapat dikawal sebaik-baiknya. Oleh sebab itulah, kegiatan ekstremis dan terrorisme dalam kalangan pekerja asing dapat dikekang sejak awal. Walaupun jumlah positif Covid-19 di Singapura mencatatkan jumlah melebihi 700 kes setiap hari sejak akhir April, jelas bahawa hanya satu digit atau kurang daripada 10 kes adalah lokal dan selebihnya daripada kluster pekerja asing.

Keadaan kes yang banyak ini kerana gerakan pengesanan dan ujian kesihatan yang menyeluruh dilakukan oleh kerajaan Singapura di semua asrama pekerja asing yang dimilikinya. Keadaan ini dijangka mengalami penurunan yang drastik dan seterusnya tamat pada Jun nanti.

Oleh itu, kita melihat Singapura akan berjaya mengawal Covid-19 di negara mereka terutama dalam kalangan pekerja asing kerana sistem pengurusan yang betul dan tepat. Bahkan Singapura juga berjaya menyekat kegiatan jenayah dan pemerdagangan manusia kerana ‘mengesahkan’ atau ‘menghalalkan’ proses kemasukan pekerja asing serta dilakukan secara sistematik.

Natijahnya kerajaan Singapura berjaya mengawal masalah berkaitan pekerja asing ini dengan baik. Kita perlu belajar daripada Singapura, pekerja asing sepatutnya boleh dikawal.

Kita yang membenarkan dan membawa mereka masuk dan sepatutnya boleh mengawal mereka. Bagaimanapun, apa yang berlaku hari ini ialah mereka tidak dikawal, malah berjaya mengawal kita pula. Mereka berjaya menguasai pelbagai sektor hingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada ekonomi dan produktiviti negara.

Pasca Covid-19 ini memerlukan kerajaan bertindak tegas. Pertama, perlu melakukan gerakan pemutihan dengan pendekatan yang lebih keras. Kedua, isi kekosongan |yang ditinggalkan pekerja asing ini dengan rakyat tempatan yang secara relatifnya kehilangan pekerjaan disebabkan impak besar Covid-19 ini.

Penulis Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MyRISS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) !~ MyMetro

Bukan warganegara enggan bayar kos kuarantin akan diambil tindakan

Kerajaan memberi amaran tindakan akan diambil terhadap individu bukan warganegara yang enggan membayar kos hotel dan lain-lain kos ketika menjalani kuarantin wajib.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob merujuk kepada pemegang pas pelawat jangka panjang (LTSVP) dan permastautin tetap (PR) yang bersama keluarga atau pasangan mereka pulang ke Malaysia sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Bagi pasangan dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang berstatus Pemastautin Tetap dan Pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang dikuarantin wajib, kos kuarantin perlu ditanggung sendiri.

“Namun, terdapat di kalangan mereka ini yang enggan membayar kos kuarantin. 

“Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang dinikmati sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putra

Sebelum ini rakyat Malaysia dan pasangan bukan warganegara yang memiliki LTSVP dan PR dibenarkan memasuki negara ini semasa PKP, namun mereka harus menjalani kuarantin selama dua minggu di hotel atau pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Sehingga 8 pagi tadi, terdapat 231 pusat kuarantin beroperasi dan menempatkan seramai 14,496 individu.

Daripada jumlah tersebut, 416 adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Sejak 3 April, seramai 33,807 rakyat Malaysia yang pulang telah menjalani kuarantin dan 26,121 daripada mereka telah dibenarkan keluar dari pusat tersebut.

Perjalanan rentas negeri pasangan bekerja

Sementara itu, mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan kini melonggarkan perjalanan rentas negeri kepada ibu-bapa yang bekerja di negeri berlainan, Ismail berkata perjalanan berkenaan hanya dibenarkan seminggu sekali buat pihak yang terkesan.

Ismail berkata pasangan yang ingin pulang ke pangkuan keluarga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

Muhyiddin pada Ahad lalu berkata permohonan rentas negeri boleh dibuat menerusi Aplikasi Gerak Malaysia atau di balai polis berdekatan.

“Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” kata perdana menteri. !~ Malaysiakini

error: ...