Tabika,Taska Kemas amal kehadiran bergilir & Yuran Tadika Naik 15 Peratus

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM6 juta bagi proses membasmi kuman dan menyediakan peralatan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, selain itu prosedur operasi standard (SOP) tabika dan taska Kemas kini menetapkan sistem kedatangan secara bergilir iaitu hanya 50 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang hadir dalam sehari berikutan saiz tabika dan taska Kemas yang terhad bagi membolehkan jarak sosial diamalkan.

“Murid tabika dan taska hadir ke kelas selang sehari. Bagi murid tabika yang berusia lima dan enam tahun, kelas dalam talian selama empat jam akan dijalankan kepada mereka yang tidak hadir ke kelas,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya di Presint 11 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan berkenaan, Abd Latiff berkata ia membabitkan kos disinfeksi di semua 520 taska Kemas yang menempatkan 9,575 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun dan 10,910 tabika Kemas di seluruh negara yang membabitkan 218,177 kanak-kanak.

Kos itu termasuk penyediaan alat penyukat suhu, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta peralatan untuk melakukan kerja disinfeksi.

Mengenai penggiliran kehadiran di tabika Kemas Bunga Raya Presint 11 pada hari ini, Abd Latiff berkata daripada jumlah keseluruhan 113 kanak-kanak, hanya 46 yang hadir hari ini.

“Tabika ini mempunyai empat kelas dan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, setiap kelas menempatkan sehingga 28 orang, namun kini jumlahnya dikurangkan kepada 15 kanak-kanak sahaja,” katanya.

Bagi taska Kemas pula, daripada jumlah keseluruhan 35 kanak-kanak hanya 22 mendaftar untuk hadir semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kedatangan hari ini ialah 16 orang.

Pada hari pertama pembukaan semula tabika dan taska Kemas hari ini beliau menyaksikan para guru mengajar kanak-kanak menggunakan cecair pembasmi kuman selain diberitahu supaya tidak memasukkan jari ke dalam mulut.

Dalam perkembangan lain, Abd Latiff berkata, KPLB sedang menimbang untuk mewujudkan tabika Kemas swasta untuk golongan M40 memandangkan permintaan bagi tabika Kemas sangat tinggi khususnya di Putrajaya yang mempunyai ramai pasangan bekerja.

“Ada ibu bapa yang hilang kelayakan untuk menghantar anak ke tabika kemas kerana mungkin suami seorang pegawai dan isteri seorang kakitangan sokongan.

“Jadi mereka tidak termasuk dalam senarai B40 untuk membolehkan mereka menghantar anak ke Tabika Kemas yang kini mengenakan bayaran RM20 sebulan.

“Mungkin Putrajaya akan menjadi perintis bagi tabika Kemas swasta yang akan mengenakan bayaran lebih rendah berbanding tabika swasta lain,” katanya. */ Sumber : MyMetro

Tadika naikkan yuran sehingga 15 peratus

KUALA LUMPUR: Hari pertama taman didikan kanak-kanak (Tadika) beroperasi hari ini, mengundang kejutan apabila ibu bapa dimaklumkan kadar yuran dikenakan dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus.

Rata-rata ibu bapa mengaku terbeban dengan kenaikan yuran antara RM50 hingga RM100 itu, terutama yang menghantar lebih daripada seorang anak ke Tadika.

Alasan kenaikan yuran diberikan pengusaha berikutan kos meningkat kesan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain jumlah pelajar yang semakin berkurangan.

Ibu kepada dua anak, Nor Azma Muhamat Laila, 33, mengakui terkesan dengan kenaikan itu, apatah lagi bakal kehilangan pekerjaan selepas dimaklumkan antara kakitangan yang akan dilepaskan oleh syarikatnya hujung bulan ini.

“Pihak Tadika naikkan yuran sebanyak RM70 iaitu daripada RM500 kepada RM570 dan saya terpaksa menanggung kos tambahan RM140 untuk dua anak saya. Alasan diberikan ialah pematuhan SOP.

“Adalah tidak wajar untuk ibu bapa menanggung sepenuhnya kos pematuhan SOP ini. Kita masih boleh terima jika kenaikan itu wajar, iaitu sekitar RM30,” katanya.

Perunding, Badrul Alias, 38, pula mengalami situasi apabila terpaksa menanggung tambahan yuran tadika anaknya sebanyak RM50, iaitu daripada RM330 kepada RM380 bermula bulan ini.

Katanya, ia membebankan bagi diri yang baru sahaja berhenti kerja dan cuba memulakan perniagaan dalam tempoh PKP.

“Ia tidak wajar kerana walaupun Tadika terkesan dengan pengurangan jumlah pelajar, mereka turut menerima pelbagai bantuan kerajaan seperti dana pengekalan pekerja, geran dan pengecualian cukai,” katanya.

Guru, Norhafizah Mustafa, 33, pula berdepan kenaikan yuran Tadika anaknya sebanyak RM50 sebulan, namun bersyukur ia tidak terlalu tinggi memandangkan dia dan suaminya masih bekerja dan tidak dipotong gaji dalam tempoh PKP.

“Untuk keluarga saya ia belum membebankan, namun ada keluarga terpaksa berhenti menghantar anak ke Tadika kerana tidak mampu menanggung kenaikan yuran,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), Zaharah Awang, mengakui beberapa Tadika terpaksa menaikkan kadar yuran bermula bulan ini kerana beberapa SOP digariskan membabitkan pertambahan perbelanjaan.

Jelasnya, kenaikan yuran bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya kebanyakan pengusaha hanya mendapat pulangan ‘cukup makan’ untuk membayar gaji guru dan kos sewa premis.

“PERTIM tiada kuasa mencadangkan kepada pengusaha mengenai kenaikan atau penurunan yuran, namun ibu bapa perlu faham bahawa memang ada pertambahan kos yang ditanggung pihak Tadika.

“Antaranya seperti kos membeli cecair pencuci tangan, termometer, sanitasi tadika, pelitup dan pelindung muka, selain pertambahan bil air dan sebagainya.

“Bilangan kanak-kanak juga mengecil kerana pengusaha perlu patuhi penjarakan sosial, menyebabkan jumlah yuran yang dikumpul berkurangan berbanding sebelum PKP

“Disebabkan itu, wajar untuk pengusaha menetapkan sedikit kenaikan yuran dan saya berharap ibu bapa dapat memahami kesulitan dialami pihak Tadika,” katanya memaklumkan kenaikan bergantung jumlah pelajar di Tadika.

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Eveleen Khoo, pula memaklumkan belum menerima maklumat kenaikan yuran daripada ibu bapa atau Tadika, namun mengakui wujud peningkatan kos ditanggung pengusaha.

Katanya, selain pembelian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, pihak tadika juga perlu menyediakan makanan sendiri kepada kanak-kanak kerana SOP tidak membenarkan mereka membawa makanan daripada rumah.

“Melainkan ada aturan tertentu, maka pihak Tadika terpaksa menaikkan yuran untuk penyediaan makanan. Jika Tadika memang menyediakan makanan sebelum ini, maka mereka tidak boleh naikkan yuran untuk perkara ini,” katanya. */ Sumber : Berita Harian

error: ...