Takut dijangkiti, Halau 3 jururawat dari sewa rumah

TIGA jururawat terkedu selepas diusir pemilik bilik sewa mereka kerana didakwa ‘mencemari’ penghuni rumah dengan Covid-19.

Jururawat berkenaan bekerja di Hospital Bung Karno, Surakarta di Jawa Tengah, antara barisan hadapan yang bertugas menangani pandemik maut itu.

Seorang daripada jururawat berkenaan, Siska berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai pengusiran itu menerusi kiriman teks mesej daripada pemilik bilik sewanya.

“Saya baru bangun tidur dan terkejut selepas menerima kiriman mesej berkenaan yang meminta kami keluar dari bilik sewa secepat mungkin.

“Saya dan dua lagi rakan dihalau kerana bertugas di hospital yang menjadi pusat rawatan pesakit Covid-19,” katanya seperti dilaporkan The Jakarta Post.

Siska berkata, tindakan itu begitu mengejutkannya kerana kini sukar mendapatkan bilik sewa secepat mungkin disebabkan penularan wabak itu.

“Kami terkejut dan kecewa. Kenapa kami diperlakukan sedemikian?

“Masyarakat tidak sepatutnya mempunyai stigma negatif kepada petugas kesihatan kerana kami sentiasa menggunakan pakaian perlindungan dan mematuhi protokol kesihatan,” katanya.

Pengarah Hospital Bung Karno, Wahyu Indianto berkata, pihaknya akan menyediakan bilik untuk jururawat berkenaan untuk tinggal bagi sementara waktu.

Berita pengusiran jururawat berkenaan juga tersebar sehingga diketahui Gabenor Jawa Tengah.

Beliau menghubungi jururawat terbabit dan pemilik bilik sewa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Pemilik bilik sewa memohon maaf sambil menangis dengan memberi alasan keputusan itu dibuat kerana bimbangkan kesihatan dia dan penghuni lain,” katanya.

Sumber : Harian Metro

error: ...