Tarik kawalan pergerakan ‘terlalu awal’ undang padah – WHO

KETUA Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. – Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran langkah membatal perintah berkurung atau menarik balik kawalan pergerakan ‘terlalu awal’ boleh mencetuskan penularan semula COVID-19 yang jauh lebih buruk.

Menyatakan kebimbangan itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata ada beberapa negara sedang mempertimbangkan untuk menamatkan perintah berkurung yang membabitkan kira-kira empat bilion penduduk dunia.

Beliau menyifatkan ia terlalu tergesa-gesa dan berbahaya selain mungkin membawa kemudaratan sekiranya tidak dikendalikan dengan cara yang betul.

Ini kerana katanya, jika larangan pergerakan untuk mengekang pandemik COVID-19 dibatalkan terlalu cepat akan mengakibatkan pertambahan kes baharu lebih tinggi.

“Saya tahu ada negara sedang mempertimbangkan untuk menarik balik perintah berkurung atau larangan keluar rumah.

“Namun jika dibuat ketika krisis pandemik sedang memuncak ia akan akan mengakibatkan rekod kematian bertambah serius, berikutan situasi belum ditangani sebaiknya,” katanya.

Katanya, WHO sentiasa bekerjasama dengan negara yang terkesan COVID-19 dengan mencadangkan langkah sewajarnya atau secara beransur-ansur mengurangkan perintah berkurung dengan selamat.

WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas COVID-19, berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.

Beberapa negara Eropah antaranya sudah mempertimbangkan untuk melonggarkan arahan itu berikutan jumlah jangkitan COVID-19 menunjukkan trend penurunan.

Antaranya, Austria dan Switzerland, masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April.

Tedros menegaskan enam perkara perlu dipertimbangkan sebelum melonggarkan sekatan atau menarik sekatan kembali kepada keadaan asal.

Katanya, enam syarat itu ialah pergerakan penduduk perlu dikawal, amalan kesihatan awam mencukupi, berjaya meminimumkan risiko penularan virus, melaksanakan langkah pencegahan di sekolah dan tempat kerja, menangani kes jangkitan import dan masyarakat sedar serta mempunyai pembabitan dalam peralihan sekatan itu.

Angka kematian global kini mencecah kira-kira 100,000 orang dengan 1. 4 juta orang dijangkiti sejak penularannya bermula di Wuhan, China pada hujung Disember lalu.

Sementara itu, Tedros melihat negara paling terjejas di Eropah seperti Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis yang memperlihatkan penurunan kes.

Bagaimanapun beliau memberi amaran, ada peningkatan kes yang mampu mencetuskan kluster baharu seperti Afrika, yang dikesan bermula di kawasan luar bandar.

“Kita sekarang melihat wujud kluster kes dan penularan dalam kalangan masyarakat di lebih 16 negara di semua benua.

“Kami menjangkakan krisis serius bagi sistem kesihatan yang sudah meruncing, terutama di kawasan luar negara yang biasanya kekurangan sumber berbanding di bandar,” kata Tedros yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan Ethiopia.

Malah katanya, negara maju yang mempunyai sistem kesihatan lengkap turut menerima kesan buruk yang dicetuskan COVID-19 yang digesa supaya mempertingkatkan peruntukan kesihatan sekali gus tidak terhimpit dengan ‘kitaran panik dan pengabaian’.

“Di banyak negara situasinya adalah panik berikutan virus berbahaya itu tidak kelihatan, menimbulkan kekacauan. Tiada negara yang kebal,” katanya.

Selain itu apa yang membimbangkan, kira-kira 10 peratus petugas kesihatan dilaporkan dijangkiti di sesetengah negara.

“Apabila petugas barisan hadapan berada dalam keadaan berisiko, kita semua berisiko,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penularan kes baharu Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC), beliau berkata, hanya satu kes baru dilaporkan iaitu tiga hari sebelum berakhirnya tarikh rasmi wabak yang panjang.

Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata, sejumlah 2,600 isyarat masih disiasat setiap hari di DRC dengan beribu-ribu sampel diambil setiap minggu.

“Mungkin itu pengajaran kepada kami dalam menangani COVID-19 jika tiada strategi sukarlah untuk mengawal keadaan. Justeru, mesti sentiasa bersedia untuk kembali lagi dan memulakan semula,” katanya. – AFP

Sumber : Berita Harian

error: ...