Tetamu rentas negeri tanpa kebenaran, tuan rumah diheret ke balai

Mat Kasim berkata, pada musim perayaan ini, pintu-pintu masuk ke sempadan negeri itu terutama di plaza-plaza tol akan diperketatkan. – BERNAMA

 

ALOR GAJAH: Polis Melaka tidak teragak-agak mengheret pemilik kediaman ke balai polis sekiranya didapati menerima tetamu yang melakukan perjalanan rentas sempadan negeri tanpa kebenaran pada Hari Raya Aidilfitri ini.

 

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, seramai 94 petugas pemantau akan dikerahkan di ketiga-tiga daerah di negeri itu bagi membuat pemeriksaan mengejut terhadap kediaman yang mempunyai jumlah kenderaan diparkir yang meragukan.

 

Beliau berkata, tidak dinafikan ada antara individu yang berusaha menipu pihak berkuasa untuk pulang ke kampung dengan memaklumkan mereka hanya merentas daerah memandangkan aktiviti itu dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

 

Bagaimanapun, ujar Mat Kasim, pada musim perayaan ini, pintu-pintu masuk ke sempadan negeri itu terutama di plaza-plaza tol akan diperketatkan, memandangkan alasan berkenaan tidak masuk akal.

 

Ini kerana jelasnya, Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil dan kebanyakan pengguna jalan raya cenderung memilih laluan persekutuan berbanding lebuh raya dengan mengambil kira faktor jarak antara daerah yang dekat.

 

“Jadi kita tahu negeri Melaka ini kecil dan laluannya pun agak mudah, tetapi bagaimanapun, di pintu-pintu masuk dan pintu keluar, contoh di tol Simpang Ampat ini, dua-dua belah kita akan jaga.

 

“Kita akan pastikan mereka ini mematuhi dan mempunyai permit yang sebenarnya. Janganlah cuba-cuba hendak melintasinya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

 

“Sayang duit untuk bayar RM1,000, lebih baik digunakan untuk hari raya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya di plaza tol Simpang Empat, di sini, malam tadi.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini lapan sekatan jalan raya yang melibatkan 505 pegawai dan anggota dilaksanakan di Melaka termasuk di laluan-laluan pesisir pantai.

 

Ia bagi mengekang cubaan penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan laut.

 

Dalam pada itu, ujar Mat Kasim, pihaknya turut menempatkan pasukan pemantau di pasar raya dan pasar-pasar awam di negeri ini sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kesemua peniaga dan pengunjung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

Tegas beliau, individu yang dikesan ingkar terhadap arahan pihak berkuasa juga akan diberikan saman tanpa sebarang alasan.

 

Astro Awani

Pengorbanan perlu dilakukan supaya negara bebas daripada pandemik Covid-19 yang sehingga kini belum mempunyai vaksin.

Peringatan demi peringatan dilontar pihak berkuasa supaya tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Namun, masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan berkenaan dengan mencipta pelbagai alasan untuk pulang ke kampung terutama menjelang sambutan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik pada Selasa lepas, sebanyak 3,212 buah kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung, diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali disebabkan hal kecemasan atau kerja, dan ia perlu mendapat kebenaran PDRM.

Tidak dinafikan memang sukar bagi individu bujang yang berada di bandar menyambut Hari Raya tanpa keluarga, begitu juga ibu bapa di kampung terpaksa menyambut lebaran tanpa anak-anak dan cucu seperti kebiasaannya.

Namun, pengorbanan perlu dilakukan supaya negara bebas daripada pandemik COVID-19 yang sehingga kini belum mempunyai vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangan akan berlaku penularan baharu sekali gus menyebabkan kes COVID-19 meningkat selepas sambutan Aidilfitri sekiranya orang ramai tidak patuh terhadap larangan pergerakan rentas negeri.

“Kalau boleh jangan balik kampung, duduk di rumah dan sambut Aidilfitri secara tertutup serta elak aktiviti kunjung-mengunjung,” katanya.

Kes seorang wanita mengandung yang dikesan positif COVID-19 selepas melakukan pergerakan dari Zon Merah di Ampang dekat sini ke kampungnya di Kelantan dalam Zon Hijau, wajar dijadikan ikhtibar oleh semua supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Dr Noor Hisham berkata pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat kes berkenaan. 

– Bernama / Malaysiakini

error: ...