The World Of The Married cetus fenomena K-Drama

Pelakon utamanya, Kim Hee-Ae membawa watak doktor Ji Sun-Woo yang teraniaya dan memendam rasa atas kecurangan suami. – Foto dimsum entertainment

KUALA LUMPUR: Penangan K-Drama bukan sahaja memberi impak besar di Korea, malah seluruh dunia mempunyai pengikut setia yang sering menantikan kemunculan naskhah terbaharu.

Terbaharu, drama bersiri Korea, The World Of The Married mencipta fenomena baharu di kalangan penggemar K-Drama.

Mengangkat kisah kecurangan dan balas dendam, drama lakonan Kim Hee-Ae, Park Hae-Joon, Han So-Hee dan Park Sun-Young itu merekodkan rating tertinggi iaitu 6.63% ketika episod pertama disiarkan, sekali gus mencipta sejarah dalam saluran sebuah televisyen di Korea.

Episod keenam drama berkenaan sudah berjaya mengalahkan rating terbaik drama popular, Itaewon Class.

Rating drama bersiri 16 episod semakin meningkat dan menjadi trending dalam media sosial setiap kali tayangan. Kini, drama The World Of The Married mula tular di beberapa negara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Berbaki enam episod tayangan di stesen TV Korea, peminat K-Drama di Malaysia kini sudah boleh menonton menerusi platform penstriman dimsum entertainment, sejak 1 Mei lalu.

Pelakon utamanya, Kim Hee Ae memuji bakat Han So Hee dalam membawakan watak antagonis, Yeo Da Kyung.

Memetik laporan Soompi, Kim Hee Ae berkata, Han So Hee komited dengan kerjanya dan mampu pergi jauh.

“Dia berbakat dan mampu menjiwai karakter dengan baik. Jika lakonannya begitu sempurna pada usia sekarang, saya tertanya-tanya, bagaimana bakat mampu terserlah ketika mencapai usia saya.

“Saya tak boleh membayangkannya. Dia sangat rajin,” ujar Kim Hee Ae yang kini berusia 53 tahun.

Dalam pada itu, Kim Hee Ae berkata, Han So Hee wanita yang sangat cantik.

“Han So Hee sangat cantik dalam drama The World Of The Married. Saya rasa, perkataan ini tidak cukup untuk menggambarkan kecantikannya,” ujarnya.

Dekat dengan jiwa penonton, The World Of The Married mengisahkan seorang doktor bernama Ji Sun-Woo (Kim Hee Ae) yang memiliki kehidupan yang hampir sempurna. Sungguhpun memiliki segala-galanya, Ji Sun-Woo mengesyaki suaminya, Lee Tae Oh bermain kayu tiga.

Hal ini kerana, Ji Sun-Woo menjumpai pelembap bibir rona merah dalam kocek jaket suaminya.

Benar seperti dijangka, Ji Sun-Woo mendapati suaminya sedang berlaku curang. Lebih memburukkan keadaan, suaminya berselingkuh dengan rakannya sendiri. Sejak itu, kehidupan mereka mula berubah.

Untuk rekod, The World Of The Married adalah adaptasi drama bersiri dari Britain, Doctor Foster yang pernah disiarkan di BBC One pada 2015 dan 2017. Ia dibintangi Suranne Jones dan Bertie Carvella.

Sumber : Berita Harian

error: ...