Trump mahu tuntut ganti rugi dari China, USA negara paling teruk dilanda COVID-19

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada taklimat harian media di Rumah Putih. – Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin berkata, beliau mungkin akan menuntut kerugian dari China susulan pandemik COVID-19 bermula di bandar Wuhan, sebelum merebak ke seluruh dunia.

“Kami tak berpuas hati dengan China. Kami tak berpuas hati kerana percaya, ia boleh dihentikan di tempat asal (penyakit).

“Ia boleh dihentikan segera dan tidak merebak seluruh dunia,” katanya pada taklimat harian media di Rumah Putih.

Trump berkata, terdapat pelbagai cara boleh digunakan untuk mendesak China bertanggungjawab.

“Kami sedang menyiasat perkara ini dengan serius, seperti yang mungkin anda ketahui,” katanya.

Trump ditanya mengenai laporan sebuah akhbar Jerman baru-baru ini yang mendesak China membayar pampasan berjumlah AS$165 bilion (RM719 bilion) susulan kemerosotan ekonomi akibat virus terbabit.

Ditanya apakah AS akan menimbangkan tindakan yang sama, Presiden AS itu berkata, mereka akan mengambil pendekatan lebih mudah.

“Kita sedang bercakap mengenai tuntutan lebih besar dari Jerman tetapi jumlah terkini masih belum ditetapkan.

“Ini adalah kerosakan seluruh dunia. Ia menjejaskan AS dan menjejaskan seluruh dunia,” katanya. – AFP / Berita Harian

COVID-19: Kes positif melepasi 3 juta di seluruh dunia

Petugas kesihatan Hospital La Paz, Madrid, bertepuk tangan sebagai membalas penghargaan daripada pelbagai pihak dalam memerangi COVID-19. Sepanyol antara negara di Eropah yang merekodkan angka melepasi 200,000 kes – Foto AFP

PARIS: Lebih daripada tiga juta kes jangkitan COVID-19 direkodkan di seluruh dunia, dengan hampir 80 peratus daripadanya di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Mengikut data AFP, sebanyak 209,388 kematian, kebanyakannya di Eropah di mana terdapat 1.4 juta dan 126,233 kematian.

Amerika Syarikat, negara di mana pandemik COVID-19 berkembang paling pesat, terus merekodkan peningkatan kepada 980,008 kes termasuk 55,637 kematian.

Sementara itu, data Johns Hopkins University menunjukkan pertambahan lebih 70,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam dengan tujuh negara kini mempunyai angka positif melebihi 100,000.

Di Eropah, Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan 229,000 dan 199,000 kes.

Itali pula dijangka melepasi angka 200,000 ketika negara itu kini mengumumkan pelan melonggarkan sekatan bermula 4 Mei ini setelah mencatatkan penurunan kes positif dan kematian dari hari ke hari.

Negara keempat dan kelima mempunyai kes positif yang tinggi adalah Perancis dan Jerman dengan masing-masing merekodkan 162,000 dan 158,000 kes.

Sementara United Kingdom (UK) dan Turki pula mempunyai kes positif 158,000 dan 112,000 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 887,000 di seluruh dunia.

Negara-negara di Eropah yang terjejas teruk akibat pandemik itu kini mula melonggarkan sekatan setelah mencatatkan penurunan kes positif dan kematian sejak seminggu lalu. – AFP / Berita Harian

error: ...