Tujuh kematian baharu akibat denggi di Selangor dalam PKP

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan tujuh kematian baharu akibat denggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata sepanjang tempoh PKP bermula minggu epid ke-12 (22 Mac) hingga minggu epid ke-15 (12 April), kadar kes denggi mencatatkan sebanyak 1,910 kes.

“Berbanding minggu epid sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 3,321 kes, iaitu penurunan sebanyak 42 peratus namun tujuh kes kematian dicatatkan sepanjang PKP sehingga semalam.

“Secara keseluruhan, dari awal Januari hingga 12 April lalu (minggu epid ke-15) terdapat 22,180 kes denggi dengan 23 kes kematian tetapi tahun

lalu terdapat 23,323 kes denggi dengan 19 kes kematian.

“Ini menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 4.9 peratus, tetapi kes kematian menunjukkan peningkatan sebanyak 21.05 peratus, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, lokaliti wabak yang mencatatkan kes tertinggi sejak Januari 2020 hingga 12 April ialah Petaling sebanyak 7,372 kes; Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709).

“Lokaliti wabak yang mencatatkan kes terendah ialah Sabak Bernam dengan 69 kes sehingga minggu epid ke-15.

“Sepanjang tempoh PKP bermula minggu epid ke-12 (22 Mac 2020) hingga minggu epid ke-15 (12 April 2020), kadar kes denggi mencatatkan sebanyak 1,910 kes.

“Berbanding minggu epid sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 3,321 kes, iaitu penurunan sebanyak 42 peratus. Jumlah kes kematian dicatatkan sepanjang PKP adalah tujuh kes kematian,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan memperuntukkan RM5 juta untuk program pencegahan denggi seluruh Selangor berbanding RM3 juta tahun lalu.

“Berikutan PKP dilanjutkan April dan keperluan sumber mendesak di bahagian kesihatan negeri serta pusat ketika COVID-19, aktiviti kawalan denggi dihadkan kepada aktiviti kurang kontak seperti aktiviti lavasiding di perkarangan kawasan wabak dan titik panas.

“Namun, pembiakan nyamuk tetap akan berlaku di persekitaran kawasan perumahan dan dalam bangunan kediaman. Kesedaran awam mengenai bahaya denggi masih di peringkat membimbangkan.

“Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat di Selangor terutama yang berada di lokaliti hotspot denggi ini supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya agar kita dapat sama-sama memastikannya tidak akan menular lebih parah,” katanya.

Sumber : Berita Harian

error: ...