Wakil peniaga umum langgar perintah berkurung Lubnan

Rakyat Lubnan mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan yang didakwa kurang memberi sokongan kepada sektor pelancongan selepas kejadian letupan besar di pelabuhan Beirut awal bulan lalu. – Foto AFP

BEIRUT: Seorang wakil sektor hospitaliti Lubnan pada Selasa berkata, perniagaan berasaskan pelancongan dan perkhidmatan tidak lagi akan mematuhi peraturan perintah berkurung, yang memburukkan situasi ekonomi negara.

“Bermula esok, kami akan membuka semua pintu,” kata ketua Persatuan Pemilik Restoran, Kafe, Kelab Malam dan Kedai Pastri, Tony Ramy,

“Kami tak peduli lagi dengan keputusan tidak masuk akal untuk melaksanakan perintah berkurung, sama ada secara penuh atau separuh,” katanya dalam satu wawancara menerusi televisyen, dari sebuah jalan di Beirut yang terjejas teruk akibat tragedi letupan pada 4 Ogos lalu.

Seorang jurugambar AFP berkata, puluhan individu berhimpun bagi menyokong kenyataan dibuat Ramy, segelintir membawa sepanduk bertulis “Pelancongan adalah nadi Lubnan” dan “Untuk kami, negara lenyap bersama letupan”.

Pengisytiharan itu, dibuat bagi pihak lembaga pelancongan yang turut mewakili hotel dan resort di tepi laut, empat hari selepas pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung dua minggu, bagi membendung peningkatan jumlah jangkitan dan kematian harian akibat COVID-19.

Lubnan mencatatkan 13,687 kes COVID-19 dan 138 kem@tian.

Di bawah peraturan terbaru, semua pusat beli belah, kelab malam, gimnasium, kolam renang, restoran dan kedai kopi diarah ditutup.

Restoran, kedai kopi dan pastri boleh menyediakan perkhidmatan penghantaran namun hanya dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi sehingga 6 petang (waktu tempatan). – AFP / Berita Harian

error: ...