Warganet Harian Metro setuju larangan rentas negeri Aidiladha ini

Foto ~ KHIS/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN – Harian Metro

LEBIH separuh pelayar maya di media sosial Harian Metro (HM) bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri pada perayaan Aidiladha ini.

Ia berdasarkan tinjauan pendapat dalam talian menerusi Facebook dan Twitter HM setakat 11 pagi ini.

Undian selama 14 jam itu menarik undian 85,100 pengikut akaun Facebook HM, dengan 57 peratus atau 48,507 menyokong cadangan larangan rentas negeri dilaksanakan semula.

Selain itu, undian sama menerusi Twitter HM pula disertai 6,110 pengikut, dengan 52 peratus atau 3,177 bersetuju.

Pemilik akaun FB menggunakan nama Sue Malaha Abdullah berkata, wajar untuk kebaikan semua pihak selagi pandemik Covid-19 ini tidak hilang selagi itu semua patut ikut normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Saya ni dah berapa lama tak jumpa mak dan bapak nun jauh di Sarawak. Hati ini kuat betul nak balik tapi memikirkan risiko itu sangat-sangat besar mampu VC (panggilan video). Insya-Allah, Allah jaga mereka,” katanya.

Pendapat sama dikongsi Khalifah Bumi Khalifah, wajar kalau keadaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.

“Tapi kasihan rakyat Malaysia kerana segelintir yang tak mematuhi SOP akhirnya semua sekali yang menanggungnya. Kasihan pada frontliner kita bermatian berjuang melawan Covid-19 ini. Hargailah pengorbanan mereka,” katanya.

Begitu juga bagi Raden Kertapati yang berpendapat sekiranya larangan rentas negeri tidak dilakukan kemungkinan kes Covid-19 di negara ini meningkat mendadak.

Namun, ada pelayar maya yang tidak bersetuju sekiranya larangan rentas negeri dilaksanakan semula kerana ramai yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman.

Pemilik akaun FB, Noorizma Hani Ahmad Zizi berkata, tidak wajar larangan itu dilaksanakan semula kerana dia sudah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak fasa pertama sehingga kini.

“Lagipun suami saya seorang frontliner yang baru diluluskan cuti untuk raya Aidiladha. Bagi peluang pada kami untuk balik kampung. Anak-anak pun baru keluar rumah untuk pergi sekolah selepas tiga bulan duduk di rumah,” katanya.

Begitu juga dengan pemilik akaun FB, Nor Farhana yang berhasrat pulang berhari raya di kampung.

“Tolonglah bagi kami peluang beraya bersama keluarga. Raya puasa kami tak dapat balik berbulan kami PKP sampai kes baru tinggal satu digit, kosong kes pun pernah.

“Datang kluster kayangan dengan bangganya pentingkan diri sendiri tanpa fikir padahnya,” katanya.

Sementara itu, Rosesalisawatee Sabihan mencadangkan supaya larangan ke luar negara lebih baik kerana punca penularan disebabkan mereka yang pulang dari luar negara. */ Sumber : Harian Metro

error: ...